Keluarga Mohon Kubur Zara Digali Semula Sebab Tiada Bedah Siasat Dilakukan – Peguam
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, serahkan sepenuhnya kepada peguam berhubung hasrat menggali semula kubur anak tunggalnya itu untuk bedah siasat
Menrusi laporan Sinar Harian, Noraidah Lamat, 45, menyuarakan perkara berkenaan bagi merungkai persoalan yang masih belum berjawab berkaitan punca sebenar kematian anaknya.
"Boleh berurusan dengan peguam. Sekarang ini, tanya saja dengan peguam," katanya.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili ibu mangsa, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan mengesahkan tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah mangsa selepas remaja itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
"Anak guam kami berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat Zara bagi membantu siasatan.
"Bedah siasat akan membantu pihak polis menentukan punca sebenar kematian Zara," kata kenyataan itu.

Percaya tragedi terbabit ada unsur jenayah
Pihak peguam turut menegaskan ibu mangsa percaya bahawa anaknya tidak membunuh diri tetapi percaya bahawa wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.
"Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
"Namun, sejak 17 Julai sehingga 27 Julai lalu, anak guam kami tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis mengenai perkembangan siasatan.
"Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media massa sepanjang tempoh tersebut.
"Kesunyian inilah yang merisaukan anak guam kami dan dianggap sebagai satu indikasi bahawa kematian Zara tidak disiasat dengan sewajarnya," katanya.

Laporan polis tambahan telah dilakukan bagi membolehkan inkues dijalankan
Menurut peguam terbabit, satu laporan polis tambahan telah dibuat pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian secara teliti di samping permohonan untuk kubur Zara digali semula bagi membolehkan satu inkues dijalankan.
"Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang memaklumkan terdapat pelajar senior yang sering mengganggu dan membulinya.
"Antaranya ialah individu dikenali sebagai 'Kak M' yang pernah mengugut Zara dengan berkata 'Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni'.
"Selaras dengan kehendak anak guam kami, pada 31 Julai 2025, kami telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu untuk memohon agar mereka melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
"Perkara ini bertujuan bagi mengarahkan majistret mengadakan satu inkues dengan kadar segera bagi menentukan punca kematian si mati," katanya.
Pihak mereka berharap Jabatan Peguam Negara dapat mempertimbangkan permohonan berkenaan dalam membantu pihak polis menyelesaikan siasatan dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan setakat ini seramai 60 individu telah dipanggil memberi keterangan, termasuk tiga pelajar senior dikenali sebagai 'Kak Wana', 'Kak Dedeng' dan 'Tomboi' yang dikaitkan dalam insiden tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 