Keluarga Mahu Cari Wanita Yang Selamatkan Nyawa & Beri Bantuan CPR Di Airport Kuching
"Tanpa pertolongan dia, hasilnya tidak dapat dibayangkan sama sekali," kata doktor pesakit.
Cover image via Tang Sie Hing (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki berusia 55 tahun nyaris maut selepas rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
Namun, ia berjaya diselamatkan dengan bantuan pantas dari seorang wanita yang melakukan CPR ke atasnya selama 30 minit.
Kini, keluarga lelaki itu sedang berusaha mencari wanita berkenaan untuk berterima kasih secara peribadi kerana menyelamatkan nyawanya.
Insiden itu telah dikongsi di Facebook oleh pakar kardiologi Dr Tang Sie Heng, yang berkongsi kejadian tersebut bagi pihak keluarga lelaki itu.
Difahamkan, lelaki yang dikenali sebagai Mr Law baru mendarat di Kuching dari Sibu pada pagi Rabu, 30 April. Namun, dia tiba-tiba rebah kira-kira jam 11.30 pagi di balai ketibaan domestik, beberapa saat selepas keluar dari penerbangannya.
Image via Tang Sie Hing (Facebook)
Menurut Dr Tang, Law telah mengalami sakit dada dan perut selama tiga hari selepas lawatan ke China baru-baru ini
Walaupun dia telah menjalani perubatan di Sibu sehari sebelumnya, keadaannya bertambah teruk awal pagi itu.
Nekad untuk mendapatkan rawatan lanjut, dia menaiki penerbangan ke Kuching seorang diri.
"Apabila dia mendarat di lapangan terbang Kuching dan keluar dari balai ketibaan domestik, dia rebah secara tiba-tiba. Seorang wanita muda di belakangnya segera memulakan CPR ke atasnya, berterusan selama 30 minit," kata Dr Tang.
Beliau menambah bahawa defibrilator luaran automatik (AED) digunakan semasa resusitasi, memberikan dua kejutan yang memulihkan degupan jantung Law daripada fibrilasi ventrikel yang mengancam nyawa kepada keadaan yang lebih stabil.
Law kemudiannya dikejarkan dengan ambulans ke jabatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak, di mana dia menjalani imbasan CT.
"Doktor mengesyaki dia mengalami serangan jantung yang hampir maut," katanya.
Image via Tang Sie Hing (Facebook)
Atas permintaan keluarga, Law telah dipindahkan ke Pusat Perubatan Timberland yang kemudian mendapati dia mempunyai dua arteri tersumbat sepenuhnya
Bagaimanapun, Dr Tang gembira melaporkan bahawa keadaannya telah stabil.
"Pesakit, keluarga dan rakan-rakannya telah menyatakan rasa terima kasih yang tulus kepada wanita muda ini atas usahanya yang tepat pada masanya; tanpa campur tangan beliau, hasilnya tidak dapat dibayangkan sama sekali.
"Jika anda mempunyai kenalan wanita ini, sila WhatsApp butiran kepada Puan Ngu di +6013-8046882. Mereka ingin mengucapkan terima kasih atas apa yang dia lakukan," kata Dr Tang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik

