Kejadian Gempa Bumi Di Segamat Jadi Bukti Fenomena Pengaktifan Semula Sesar Kuno Masih Boleh Berlaku
Untuk rekod, Johor pernah merasai gegaran kecil pada 2021 dan 2023.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kejadian gempa bumi di Segamat, Johor semalam menunjukkan kerak benua di Semenanjung Malaysia masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba
Menerusi laporan Bernama, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Noorazhar Ngatimin berkata semakan awal peta geologi menunjukkan pusat gempa Segamat terletak berhampiran lanjutan Zon Sesar Mersing yang berorientasi Barat-Barat Laut hingga Timur-Tenggara.
"Kejadian ini membuktikan fenomena pengaktifan semula sesar kuno, yang melepaskan tenaga tektonik tersimpan di dalam kerak benua.
"Kedalaman gempa (lebih kurang 10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam," katanya.
Beliau berkata fenomena pengaktifan semula sesar kuno bukan perkara baharu di Semenanjung dengan rekod gempa terdahulu berlaku di Bukit Tinggi, Pahang (2007- 2010), Kenyir, Terengganu (1984), Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1987) dan Manjung-Temenggor, Perak (1990-an).

Antara kerosakan yang berlaku selepas kejadian gempa tersebut di Segamat.
Image via Komuniti SegamatImage viaWalaupun risiko rendah namun langkah proaktif tetap perlu disediakan
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dikesan berlaku pada 6.13 pagi di Segamat disusuli gegaran kedua magnitud 2.8 di Yong Peng kira-kira 28 kilometer dari Barat Laut Kluang.
Difahamkan, gegaran lemah turut dirasai di Mersing, Kluang, Batu Pahat dan kawasan sekitar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Noorazhar berkata walaupun risikonya rendah berbanding di Sumatera, langkah proaktif tetap diperlukan bagi melindungi keselamatan rakyat serta kestabilan ekonomi.
Antara langkah penting ialah pemantauan berterusan jaringan seismik, pemetaan semula sesar aktif atau kuno serta pembangunan sistem amaran awal bagi kesiapsiagaan awam dan infrastruktur kritikal.
Berdasarkan rekod penyelidikan, Johor pernah mengalami dua gempa bumi daratan pada 1922 iaitu pada 31 Januari (magnitud 5.4) dan 7 Februari (magnitud 5.0), yang menyebabkan kerosakan kecil di Muar.
"Peristiwa ini jarang berlaku kerana Semenanjung Malaysia terletak di atas Sunda Plate iaitu zon tektonik yang stabil," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 