Kedah Rancang Lengkapkan Tuntutan Ke Atas Penang Sebelum Hujung Tahun – MB
Difahamkan, tuntutan itu turut melibatkan kawasan Seberang Perai.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan negeri Kedah yakin proses perundangan berhubung tuntutan ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan tahun ini selepas kerja menganalisis dokumen berkaitan selesai
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pasukan perundangan sedang melihat sudut undang-undang yang sesuai sebelum kes berkenaan boleh dibawa ke mahkamah.
Menurutnya, usaha itu mengambil masa disebabkan banyak dokumen perlu diteliti dan semua proses perlu dibuat secara teratur serta lengkap.
"Sebelum habis tahun ini saya jangka (bawa kes ke mahkamah). Pasukan kita sedang bekerja, proses untuk perundangan ada banyak teknikal, pasukan kita sudah bersedia cuma sudut yang nak diambil itu sedang dipertimbang.
"Kita buat secara perlahan, saya bukan nak cari gaduh tapi nak buat benda teratur sebab itu kita ambil masa bertahun. Untuk buat kajian, kumpul dokumen yang dihimpunkan untuk dianalisis," katanya.
Sanusi menyuarakan keperluan supaya isu berkaitan pajakan Pulau Pinang diperjelas secara telus kepada semua pihak berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Image via NSTP/ Wan Nabil NasirPulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan diduduki secara haram oleh penjajah sejak 9 Ogos 1786
Sanusi berkata, Pulau Pinang termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam telah diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.
"Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di tanah milik Sultan Kedah. Ini satu jenayah. Pada 12 April tahun 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah melancarkan usaha untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang namun tewas.
"Pada 7 Julai 1800, Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British, lalu Seberang Perai diberi nama baharu, Province Wellesley," katanya.
Tambahnya, penyerahan Seberang Perai hanya seluas 60 relung namun telah berlaku penambahan dan kini ia seluas 751 kilometer persegi atau bersamaan 75,100 hektar.
"Di peringkat awal, nilai pajakan Pulau Pinang dipersetujui oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah adalah sebanyak 6,000 Spanish Dollar, namun tidak dibayar Francis Light. Itu yang menyebabkan perang pada 1791.
"Apabila dapat Seberang Perai, nilai pajakan ditambah 4,000 Spanish Dollar menjadikan jumlah 10,000 Spanish Dollar. Selepas merdeka, pajakan diubah menjadi RM10,000. Bermula 2018, ditambah RM10 juta menjadikan pajakan hari ini sebanyak RM10,010,000," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 