Karnival Ban Canal 2025 Warnai Pelancongan Lestari Sabak Bernam, Angkat Warisan Alam & Budaya Tempatan
Berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November, karnival berkenaan menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Karnival Ban Canal 2025 kembali sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang meraikan keindahan alam semula jadi, keunikan budaya dan kekayaan warisan pertanian Sabak Bernam
Karnival Ban Canal yang merupakan antara projek utama Sabak Bernam Development Area (SABDA) oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI dan rakan-rakan strategik mensasarkan 20,000 pengunjung bagi edisi tahun 2025.
Karnival yang bermula sejak tahun 2022 ini berperanan sebagai platform strategik memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, di samping memastikan pemeliharaan biodiversiti dan kesejahteraan komuniti setempat. Ia juga merupakan salah satu projek pemangkin SABDA, seiring dengan pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang.
Lokasi karnival yang terletak di sepanjang Terusan Ban Canal sejauh 30 kilometer telah dibina sejak era penjajahan British bagi pengairan sawah padi kini diangkat sebagai simbol warisan sejarah, ekologi dan pertanian yang signifikan kepada daerah Sabak Bernam.

Pelbagai program menarik diadakan seperti persembahan kebudayaan, pertandingan sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan, jualan produk tempatan, pameran agro dan eko-tani serta kempen kesedaran hijau
Melalui pendekatan kolaboratif, penganjuran ini melibatkan kerajaan negeri, agensi tempatan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti setempat, sekaligus memperkukuh tadbir urus yang telus dan inklusif ke arah pembangunan mampan.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penganjuran ini adalah langkah strategik memperkenalkan keunikan warisan pertanian dan ekologi Selangor khususnya Sabak Bernam kepada dunia, sekali gus memupuk kesedaran terhadap pentingnya konsep pembangunan hijau dan lestari.
"Melalui inisiatif ini, kita berharap dapat memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta menyumbang kepada ekonomi negeri, menjaga kelestarian biodiversiti dan warisan budaya tempatan.
"Kejayaan acara ini akan mempe rlihatkan sinergi erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan komuniti tempatan, serta mengukuhkan cita-cita negeri Selangor menjadi negeri hijau, makmur dan berdaya tahan infrastruktur dan alam sekitar. Diharapkan dengan penganjuran karnival ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan dalam menyokong pembangunan lestari untuk manfaat generasi akan datang," katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
Image via Karnival Ban Canal 2025Sementara itu, Exco Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna Merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail memberitahu, Karnival Ban Canal bukan sekadar acara tahunan, tetapi manifestasi semangat komuniti Sabak Bernam dalam mengekalkan warisan dan memajukan ekonomi setempat.
"Melalui penganjuran ini, kita memperkukuh identiti daerah sebagai pusat pelancongan berasaskan alam dan pertanian yang lestari. Saya percaya sasaran 20,000 pengunjung tahun ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi yang signifikan kepada masyarakat tempatan serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan untuk generasi muda Sabak Bernam," ujarnya.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI, Dato' Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata, inisiatif ini sejajar dengan komitmen MBI dalam memperkukuh agenda pembangunan wilayah luar bandar melalui pendekatan mampan dan inklusif.
"Karnival Ban Canal menjadi simbol sinergi antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar yang menjadi teras kepada strategi pembangunan negeri Selangor. MBI, melalui SABDA, akan terus menyokong usaha menjadikan Sabak Bernam sebagai destinasi pelancongan ekologi utama di Malaysia yang berupaya menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam," katanya.

Untuk rekod, Karnival Ban Canal yang dianjurkan oleh Sabak Bernam Development Area (SABDA) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) serta rakan strategik menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, di samping memelihara biodiversiti serta kesejahteraan komuniti setempat.
Bertemakan "Alam, Budaya, Lestari", penganjuran kali ketiga ini turut menerima pengiktirafan 'Best Tourism Event' dalam Anugerah Industri Pelancongan 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).
Karnival Ban Canal 2025 terus menjadi simbol komitmen Selangor terhadap pembangunan pelancongan lestari yang menggabungkan elemen alam, budaya dan ekonomi tempatan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



