“Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun Dilarang Tunai Haji” – Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi
Kerajaan Arab Saudi menetapkan umur minimum 12 tahun untuk jemaah musim haji kali ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan peraturan baharu melarang kanak-kanak menyertai jemaah ke tanah suci pada musim haji 2025, lapor laman berita Azernews baru-baru ini
Langkah tersebut bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko bahaya ekoran kesesakan manusia yang luar biasa setiap kali musim haji.
Dalam pada itu, menurut laman berita The Daily Star, kerajaan Arab Saudi menetapkan umur minimum 12 tahun untuk jemaah musim haji kali ini.
"Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku semasa perjalanan haji," menurut kementerian itu dalam kenyataannya baru-baru ini.
Sebagai tambahan, kementerian itu turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pengurusan haji.
Ini termasuk kempen kesedaran mengenai keselamatan mandiri, pengenalan sistem pintar untuk membimbing dan mengawal pergerakan jemaah ke kawasan ibadah, pemodenan khemah serta laluan bagi meningkatkan keselesaan dan memudahkan pelaksanaan ibadah haji.
Keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang menunaikan haji buat kali pertama pada tahun ini
Pendaftaran musim haji 2025 telah dibuka secara rasmi kepada rakyat dan penduduk Arab Saudi melalui aplikasi Nusuk dan portal dalam talian rasmi.
Aplikasi dan portal tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memperkemas dan mendigitalkan proses pendaftaran, menjadikannya lebih cekap dan mudah diakses.
Terdahulu, Arab Saudi juga telah mengumumkan perubahan penting kepada dasar visa haji.
Bermula 1 Februari, jemaah dari 14 negara hanya akan layak untuk mendapatkan visa masuk tunggal.
Perubahan itu bertujuan untuk mengurangkan amalan menunaikan haji tanpa kebenaran yang sah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 