Kanak-Kanak 7 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 29 Kondominium Rumah Pengasuh
Kejadian dipercayai berlaku selepas kanak-kanak berkenaan memanjat tingkap tidak bergerigi di rumah itu.
Cover image via Harakah Daily & Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Puchong pada Selasa, 20 Mei 2025
Menurut laporan Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar dalam laporan Sinar Harian, maklumat itu diterima pihaknya pada jam 12.30 tengah hari menerusi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya.
"Maklumat diterima berkaitan satu kejadian melibatkan mangsa warga tempatan telah jatuh dari kondominium tingkat 29 yang terletak di Puchong, Subang Jaya.
"Anggota polis kemudian digerakkan ke lokasi kejadian untuk pengesahan maklumat dan bantuan," katanya.
Menurutnya lagi, siasatan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di atas lantai tingkat lima bangunan tersebut
"Siasatan mendapati kejadian berlaku di rumah pengasuh mangsa. Ketika kejadian, ibu mangsa menjaga seorang lagi anaknya yang sedang dikuarantinkan, manakala bapa mangsa pula bekerja.
"Siasatan turut mendapati mangsa dipercayai memanjat tingkap yang tidak bergerigi sebelum terjatuh.
"Pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya lagi.
Difahamkan, siasatan pihak polis turut mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian dan pihak polis telah merakam keterangan individu yang merupakan pengasuh mangsa bagi membantu siasatan lanjut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


