Kadar Gaji Minimum RM1,700 Bukan Asas Gaji Permulaan Pekerja Berkemahiran Tinggi
Kerajaan menyediakan garis panduan gaji bagi pelbagai pekerjaan berkemahiran untuk majikan dan pekerja menggunakannya sebagai asas rundingan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Majikan diingatkan untuk tidak menggunakan kadar RM1,700 sebulan yang dikuatkuasakan melalui Perintah Gaji Minimum (PGM) sebagai asas kepada gaji permulaan ditawarkan kepada pekerja
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata kadar RM1,700 hanyalah panduan gaji minimum yang ditetapkan bagi pekerjaan paling asas dan berkemahiran rendah.
Menurutnya, kerajaan juga ada menyediakan garis panduan gaji bagi pelbagai pekerjaan berkemahiran termasuk jurutera, pereka grafik dan wartawan, supaya majikan dan pekerja boleh menggunakannya sebagai asas rundingan.
"Panduan ini bukan wajib, tetapi bertujuan memudahkan perbincangan gaji dan memastikan pekerja baharu tidak ditawarkan kadar terlalu rendah dan penetapan gaji minimum tetap perlu dipatuhi.
"Selain itu, kerajaan juga menyediakan insentif melalui Dasar Gaji Progresif dan subsidi kepada syarikat supaya pekerja boleh menerima gaji lebih tinggi. Hasilnya pekerja memperoleh manfaat antara RM200 sampai RM300 daripada dasar gaji itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum Majlis Menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-14 antara Genting Malaysia Berhad (GENM) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia di Wisma Genting, Kuala Lumpur.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Image via FacebookSim memuji langkah GENM yang dibuat melalui CA baharunya dengan peningkatan gaji minimum kepada RM1,800 sebulan
"CA ini menunjukkan teladan baik kerana tidak hanya menggunakan kadar minimum statutori sebagai gaji permulaan.
"Dengan menetapkan RM1,800, langkah ini adalah progresif dan GENM turut melaksanakan penyelarasan gaji 10 peratus yang menjadi kadar tertinggi dalam sejarah persatuan pekerja sejak 1974," katanya.
Beliau berkata, keberkesanan proses perundingan itu, yang diselesaikan dalam hanya tiga bulan melalui empat mesyuarat yang membabitkan hampir 10,000 pekerja.
"Ini contoh sebenar menguntungkan kedua-kedua pihak. Kesan kenaikan gaji jelas dengan gaji minimum naik 11 peratus, begitu juga gaji pertengahan," katanya.
Keseluruhan penambahbaikan itu mengukuhkan komitmen GENM dalam menyediakan pampasan dan faedah kompetitif kepada pekerja.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 