Jalan Selayang Baru Kembali Dipenuhi Warga Asing Selepas Hanya Beberapa Jam Digempur
Gerakan bersepadu telah dijalankan pada jam 8 malam kelmarin.
Cover image via Foto NSTP/Ahmad UkasyahFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun sudah digempur secara besar-besaran, Jalan Selayang Baru kembali dipenuhi warga asing kebanyakannya dalam kalangan etnik Rohingya
Menerusi laporan Berita Harian, rata-ratanya telah kembali menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kaki lima, bekerja di kedai jualan barang basah, selain menjual makanan kepada warga asing lain seperti warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan India.
Perniagaan berlesen yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) milik warga tempatan di situ juga turut menggajikan warga asing dari negara-negara terbabit.
Selepas tengah hari semalam, semakin ramai warga asing dilihat berkumpul di Jalan Besar Selayang Baru berkemungkinan merasakan mereka 'selamat' daripada pemantauan pihak berkuasa.
Mereka dilihat berniaga sireh, menjual dan memotong daging lembu dan ayam di lorong belakang kedai serta menjual buah-buahan dan sayur-sayuran di kaki lima.

Kawasan persekitaran dilihat menjadi kotor dan mendatangkan pencemaran bau
Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Borhan berkata warga asing Myanmar terutamanya Rohingya banyak menjalankan perniagaan haram sehingga menyebabkan keadaan persekitaran tidak bersih dan mendatangkan bau yang tidak menyenangkan.
"Saya bukanlah hendak menghina sesama insan tetapi itulah realiti mereka ini pengotor dan membuang sampah sesuka hati.
"Mereka juga yang berkumpul merata-rata di Selayang Baru ini mendatangkan keresahan kepada penduduk tempatan.
"Contohnya apabila ada anak-anak kecil perempuan warga tempatan yang bermain atau melalui kawasan di sini disebabkan ibu bapa mereka tinggal kediaman atas kedai, kita bimbang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik," katanya.
Kata peniaga di Pasar Harian Selayang itu, dia berharap operasi bersepadu yang dilaksanakan baru-baru ini dapat dibuat dengan lebih kerap lagi.

Seramai 843 individu ditahan dalam operasi yang dijalankan
Kelmarin, penguat kuasa beberapa agensi mengepung sebahagian kawasan Selayang Baru dalam operasi menghapuskan koloni warga asing sekitar Pasar Selayang dan Pasar Tani Selayang.
Dalam gerakan bersepadu yang bermula jam 8 malam kelmarin, seramai 1,116 individu diperiksa, kemudiannya membawa kepada penahanan 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi besar-besaran itu diselaraskan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (MKN) Selangor dan diketuai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, merangkap Pengerusi MKN Negeri yang memaklumkan 273 individu dibebaskan selepas mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, seramai 843 individu (808 lelaki dan 35 wanita) ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen sah atau melakukan kesalahan tinggal lebih masa. Ia melibatkan 647 warga Myanmar, Nepal (102 orang), Bangladesh (79 orang), Indonesia (15 orang) dan India (10 orang).
Serbuan membabitkan Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pendaftaran Negara serta pihak berkuasa tempatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



