Israel Langgar Perjanjian Gencatan Senjata, Lancar Serangan Besar-Besaran Ke Atas Gaza
Sejak Oktober 2023, lebih 48,500 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tentera Israel terus menyerang Semenanjung Gaza awal pagi Selasa
Serangan itu telah membunuh lebih 320 orang dan mencederakan ratusan yang lain, walaupun perjanjian gencatan senjata sedang berkuat kuasa.
Menerusi laporan Berita Harian, gambar yang tersebar dari Gaza menunjukkan majoriti mangsa adalah orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang rumah mereka dibom pada waktu malam.
Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Luar Palestin, pihaknya menyifatkan serangan Israel ke atas penduduk awam di Gaza sebagai "gangguan terhadap usaha antarabangsa untuk pembinaan semula Gaza dan penghindaran Israel daripada kewajipan gencatan senjata."
"Penyelesaian politik merupakan kunci untuk mencapai ketenangan, menghentikan serangan, serta memulihkan hala tuju penyelesaian konflik," katanya.
Desak campur tangan segera antarabangsa henti genosid
Dalam pada itu, Palestin juga menggesa campur tangan segera antarabangsa bagi menghentikan perang genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza.
"Kami menyeru pendirian tegas antarabangsa bagi menguatkuasakan penghentian serta-merta serangan dan memberi amaran terhadap cubaan rejim penjajah melaksanakan rancangan pemindahan paksa rakyat kami," katanya.
Pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh dan hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.
Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Difahamkan, sejak Oktober 2023, lebih 48,500 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan kejam Israel di Gaza.
Menteri agama seru untuk solat hajat buat penduduk Palestin
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, menyeru agar orang ramai melakukan solat hajat buat rakyat Palestin.
Beliau memberitahu Kerajaan Malaysia dengan tegas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Israel yang terus mengingkari perjanjian gencatan senjata dan melakukan serangan tanpa perikemanusiaan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
"Sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara-saudara kita di Palestin, semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) DIARAHKAN untuk melaksanakan Solat Hajat secara berterusan sepanjang baki Ramadan.
"Umat Islam di seluruh negara diseru untuk bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang ditindas.
"Malaysia kekal teguh dalam pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman ini.
"Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan keganasan rejim Israel serta memastikan keadilan bagi rakyat Palestin," katanya
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via