Ini Syarat Kesihatan Baharu Pergi Haji Yang Ditetapkan Arab Saudi Bermula Musim 1447H/2026M
Pastikan anda cakna dengan syarat baru ini!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH, syarat-syarat tersebut akan dikuatkuasakan dan para jemaah perlu mematuhinya bagi mendapatkan visa haji.
Di bawah merupakan syarat-syaratnya:
- Bebas dari penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal.
- Berupaya menjalankan ibadah haji dengan sendiri.
Jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadah haji sekiranya mempunyai keadaan atau penyakit seperti:
- Kegagalan buah pinggang kronik
- Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
- Penyakit paru-paru kronik
- Penyakit hati kronik
- Masalah neurologi/mental yang menjejaskan fungsi kognitif/motor
- Warga emas dengan dementia/fizikal lemah
- Kehamilan berisiko tinggi
- Penyakit berjangkit aktif
- Penyakit kanser yang sedang dalam rawatan.

Gambar sekadar hiasan
Image via Mustaqim TravelTH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah Haji di Mekah dan Madinah
Bagi musim haji 1447H/2026M, setiap bangunan penginapan masih dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara, termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya.
Walau bagaimanapun, pada musim haji 1447H/2026M, TH tidak lagi dibenarkan untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci dan bagi mereka yang memerlukan rawatan lanjut, jemaah akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar-pakar perubatan KKM.
TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Tabung HajiTH menegaskan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan setiap tahun
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.
"Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di Tanah Suci.
"Atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito'ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
"Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 