Ini Sebab Kenapa Pasport Kita Antara Yang ‘Terkuat’ Di Dunia

Pasport Malaysia berada di kedudukan ke-12 paling berpengaruh di dunia.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Commonwealth & Sarawak Gov
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Rakyat Malaysia yang ada pasport sebenarnya boleh travel ke banyak negara tanpa banyak halangan, sesuatu yang ramai antara kita mungkin tak sedar betapa bertuahnya kita

Baru-baru ini, pasport Malaysia telah tersenarai di tangga ke-12 pasport paling kuat dalam Henley Passport Index, sama level dengan pasport Amerika Syarikat (AS).

Dengan pasport ini, pemegangnya boleh masuk ke hampir 180 negara tanpa visa, atau sekurang-kurangnya dapat visa semasa ketibaan (visa-on-arrival) atau guna sistem electronic travel authorisation (ETA).

Tapi, apa sebenarnya yang buat sesuatu pasport tu 'kuat'?

SAYS.com
Image via Human Resources Online

Secara ringkasnya, pasport sesebuah negara dianggap 'kuat' apabila ia dibentuk atas dasar kepercayaan, kestabilan, dan keselamatan teknologi

Maksudnya, 'kekuatan' pasport itu bergantung pada sejauh mana kerajaan negara lain percaya kepada rakyat negara tersebut.

Malaysia dapat skor yang baik sebab kita ada politik yang agak stabil dan dasar luar yang seimbang. Kebanyakan negara pun tak nampak rakyat Malaysia sebagai risiko migrasi yang tinggi. Kalau sesuatu negara rasa pelawat dari negara tertentu berpotensi nak tinggal lebih masa (atau terus menetap tanpa izin), maka negara tu biasanya tak akan beri pengecualian visa.

Selain itu, Malaysia juga adalah antara negara yang terawal dalam hal keselamatan pasport. Kita dah mula guna pasport biometrik sejak tahun 1998 lagi, antara yang pertama di dunia dan ini beri keyakinan kepada negara lain bahawa dokumen kita susah untuk dipalsukan.

Tambahan pula, keahlian Malaysia dalam ASEAN, APEC, dan Komanwel turut menambah kepercayaan terhadap nilai pasport kita.

Pasport Malaysia juga secara konsisten berada dalam kelompok 20 teratas dunia, biasanya di antara tangga ke-15 hingga ke-20 mengikut pelbagai indeks

Di Asia, cuma Singapura dan Jepun sahaja yang selalu berada lebih tinggi daripada kita, manakala negara seperti China, India, dan Indonesia masih jauh ke belakang disebabkan sekatan politik dan kebimbangan berkaitan migrasi.

Walau bagaimanpun, polisi 'bebas visa' ini sebenarnya tak bermaksud pintu masuk terbuka sepenuhnya. Contohnya, rakyat Malaysia masih perlu mohon Electronic System for Travel Authorisation (ESTA) untuk masuk ke Amerika Syarikat, atau melalui European Travel Information and Authorisation System (ETIAS) untuk ke Eropah.

SAYS.com
Image via KLIA/Free Malaysia Today

Satu lagi sebab kenapa pasport Malaysia begitu 'kuat' adalah kerana kita memang dah mula dengan langkah yang baik sejak awal lagi

Bila Tanah Melayu dah capai kemerdekaan pada tahun 1957, keahlian kita dalam Komanwel telah beri kelebihan besar termasuk kemudahan perjalanan ke negara seperti UK, Australia, dan Kanada.

Masa era Perang Dingin pula, Malaysia pandai main peranan dengan menyertai Gerakan Negara Berkecuali (NAM) di mana kita kekal neutral sambil bina kepercayaan dengan kedua-dua blok Timur dan Barat.

Selain itu, menjadi salah satu pengasas ASEAN pada tahun 1967 turut memudahkan perjalanan serantau, manakala kempen "Malaysia, Truly Asia" menaikkan lagi imej negara sebagai destinasi yang selamat, kepelbagaian budaya dan mesra pelancong.

Antara lonjakan terbesar adalah pada tahun 1998, apabila Malaysia memperkenalkan pasport biometrik, satu inovasi keselamatan yang meletakkan kita selangkah ke depan berbanding banyak negara maju waktu itu.

Masuk era 2000-an, diplomasi Malaysia yang bijak mengimbangi hubungan dengan kuasa Asia dan Barat pula memastikan kita terus kekal ada akses perjalanan yang luas serta reputasi yang kukuh di mata dunia selama bertahun-tahun.

SAYS.com
Image via Commonwealth

Selain itu, ada juga beberapa faktor lain yang terus mengukuhkan 'kekuatan' pasport Malaysia:

1. Ciri keselamatan: Hari ini, pasport Malaysia telah mematuhi piawaian International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan dilengkapi pelbagai ciri canggih termasuk data biometrik (cap jari dan imbasan anak mata) serta rekaan khas yang hanya boleh dilihat di bawah sinaran ultraviolet (UV), menjadikannya hampir mustahil untuk dipalsukan.

Nak tahu rupa sebenar pasport kita bila disuluh bawah sinaran UV? Tengok gambar-gambar di bawah:

Malaysian passport UV
byu/intergalacticspy inPassportPorn

2. Aliran migrasi yang positif: Malaysia lebih dikenali sebagai negara tumpuan pekerja asing, bukan negara yang rakyatnya berhijrah secara besar-besaran. Ramai warga asing datang bekerja di sini, tapi rakyat Malaysia sendiri tak ramai yang keluar menetap di luar negara.

Perkara ini buat negara lain lebih yakin bahawa rakyat Malaysia tak cenderung untuk tinggal lebih masa bila melancong ke luar.

3. Pendirian 'Soft Power' dan kemampuan ekonomi: Dengan pertumbuhan kelas pertengahan yang semakin besar, makin ramai rakyat Malaysia yang mampu travel, belajar, dan berniaga di luar negara. Perkara ini menjadikan rakyat Malaysia pelancong yang bernilai dari segi ekonomi. Sebab tu banyak negara lebih terbuka dan mesra dalam menerima kedatangan kita.

Peranan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan reputasi kita dalam industri pelancongan yang mesra dan berkualiti turut menambah satu lagi lapisan soft power yang membantu pasport Malaysia kekal kukuh dan disegani di peringkat global.

Pendek kata, kekuatan pasport Malaysia datang daripada gabungan diplomasi yang bijak, reputasi yang kukuh dan inovasi teknologi yang sudah ada selama berdekad-dekad

Secara global, rakyat Malaysia memang bertuah sebab boleh melancong ke hampir 180 negara tanpa banyak halangan.

Tapi untuk kekalkan keistimewaan ini, Malaysia perlu terus meningkatkan kemajuan dalam teknologi, mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil, dan menjaga imej negara di peringkat antarabangsa.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: