Ini Apa Yang Perlu Anda Buat Segera Kalau Terpam Minyak Diesel Dalam Enjin Petrol
Jaga-jaga, jangan tersalah pam!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Enjin petrol dan diesel direka dengan sangat berbeza, sebab itu anda tak boleh sekali-kali mengepam diesel ke dalam enjin petrol
Enjin petrol bergantung pada palam pencucuh untuk menyalakan bahan api dalam enjin manakala enjin diesel menyalakan bahan api melalui pemampatan.
Diesel jauh lebih berat dan lebih berminyak daripada petrol dan ia tidak dapat menyala dengan betul dalam enjin petrol.
Ini bermakna jika diesel dipam ke dalam kereta petrol, ia tidak dapat terbakar seperti yang sepatutnya, menyebabkan enjin malap, berhenti atau membuatkan kereta tak dapat dihidupkan.

Tapi, apa yang boleh dilakukan kalau tak sengaja dah pam diesel dalam enjin petrol?
Perkara yang paling penting adalah jangan hidupkan enjin. Malah, menghidupkan enjin sahaja boleh menyebabkan diesel bergerak melalui sistem bahan api dan menyebabkan kerosakan pada bahagian enjin.
Sebaliknya, maklumkan kepada kakitangan stesen minyak dan buat persediaan untuk menunda kereta ke bengkel.
Apabila sampai di bengkel, terangkan situasi tersebut dan minta mekanik mengosongkan bahan api yang ada di dalam enjin itu.
Ini membolehkan sebarang diesel dikeluarkan daripada sistem bahan api dan biasanya mekanik akan menyediakan petrol untuk anda pergi ke stesen minyak terdekat untuk mengisi minyak.

Jika enjin telah dihidupkan dan kereta dah bergerak, keadaan mungkin boleh jadi lebih serius
Sebaik sahaja diesel memasuki enjin petrol semasa ia berjalan, ia bergerak melalui sistem bahan api, sampai ke komponen penting dalam kereta anda. Diesel jauh lebih tebal daripada petrol dan tidak mudah meruap, jadi ia boleh menyaluti palam pencucuh, menghalangnya daripada mencetuskan percikan dengan betul. Ini menyebabkan kerosakan dan pembakaran yang lemah.
Pam bahan api kereta juga bermasalah, kerana ia direka untuk mengepam petrol yang lebih nipis, bukan diesel yang padat. Pam yang terlalu banyak 'bekerja' boleh menyebabkan kegagalan fungsi, di mana kos membaiki adalah tinggi. Diesel juga boleh menyumbat penapis bahan api dan memendapkan sisa di dalam saluran bahan api, seterusnya mengurangkan kecekapan enjin.
Membaiki kenderaan pada peringkat ini boleh membawa kos mencapai sehingga beberapa ratus ringgit untuk mengosongkan bahan api. Ia boleh mencapai sehingga beberapa ribu ringgit jika palam pencucuh, penyuntik atau komponen lain memerlukan penggantian.
Jika anda menyedari bahawa anda telah memandu dengan diesel, langkah paling selamat adalah berhenti sebaik sahaja jumpa kawasan yang selamat dan meminta bantuan profesional. Memandu secara berterusan boleh memburukkan lagi kerosakan dan meningkatkan kos membaiki dengan ketara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 