Ibu Tunggal Usia 26 Tahun Gigih Pandu Bas Ekspres Untuk Sara Dua Orang Anak
Wanita besi!
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Walaupun baru berusia 26 tahun, seorang ibu tunggal cekal menyara dua orang anak yang masih kecil dengan memandu bas ekspres
Menerusi laporan Harian Metro, wanita itu, Nurul Ain Nadia Abdullah memaklumkan telah berkahwin pada usia 18 tahun sebelum menimang cahaya mata pertama ketika berusia 20 tahun.
Namun perkahwinannya tidak bertahan lama apabila rumah tangga berakhir pada 2022, hanya beberapa bulan selepas melahirkan anak kedua.
"Selepas bercerai, saya bekerja sebagai pengawal keselamatan pada waktu malam. Siang pula, mengikut abang dan adik membawa lori sebagai kelindan. Daripada situlah timbul minat saya terhadap kenderaan berat," katanya.
Menurutnya, dia memberanikan diri mengambil lesen kelas E pada 2021 sebelum pada 2023 menghadiri temu duga untuk peluang bertugas sebagai pemandu lori.
"Daripada situ, muncul peluang apabila wakil sebuah syarikat bas ekspres mencadangkan saya menyertai kursus lesen bas bersama mereka.
"Selepas berbincang dengan keluarga, saya pun mencuba nasib dan saya bersyukur kerana berjaya mengikuti kursus Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas sebelum mula bekerja pada Mac 2023," katanya.

Nurul Ain Nadia bersama dua anaknya.
Image via Harian MetroMenyertai Konsortium E-Mutiara Berhad awal tahun 2026 atas faktor jadual lebih fleksibel
"Bagi saya, pencapaian paling bermakna dalam hidup ialah mampu memastikan anak cukup makan pakai dan tidak tercicir persekolahan.
"Jika anak demam, saya tidak lagi terlalu bimbang tentang kos rawatan. Paling bermakna, saya masih dapat berbakti kepada ibu bapa dengan hasil titik peluh saya sendiri," katanya.
Nurul Ain Nadia berkata, dia memilih untuk memandu bas kerana pekerjaan itu memberi kestabilan kewangan dan menjamin masa depan diri dan anak.
"Saya sentiasa berdoa, melalui pekerjaan ini, saya dapat terus mencari rezeki untuk anak serta ibu bapa.
"Saya juga bertekad mahu terus gigih bekerja, bersemangat, dapat menjaga nama baik diri, keluarga dan syarikat," katanya.
Tambahnya, dia mempunyai impian untuk membuka perniagaan sendiri seperti perkhidmatan sewa van atau inap desa berdasarkan pengalaman melihat potensi dalam bidang pengangkutan serta penginapan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



