Harga Rumah Dijangka Naik Hanya 1 Hingga 2 Peratus Tahun Ini – REHDA
Difahamkan, sebarang pelarasan harga hartanah pada tahun 2026 dijangka sederhana.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Harga rumah di Malaysia dijangka kekal stabil sepanjang 2026 dengan peningkatan sekitar hanya satu hingga dua peratus
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) memaklumkan jangkaan ini adalah selari dengan keupayaan pasaran dan kemampuan pembeli.
Menerusi laporan Berita Harian, Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang berkata walaupun sektor pembinaan berdepan tekanan kos akibat kenaikan harga bahan binaan, penguatkuasaan kawalan logistik serta pelaksanaan cukai tertentu, pemaju tidak mempunyai ruang besar untuk memindahkan sepenuhnya kos itu kepada pembeli.
"Kenaikan kos pembinaan memang berlaku, dianggarkan sekitar dua hingga tiga peratus, tetapi itu tidak bermakna harga rumah boleh dinaikkan secara mendadak.
"Berdasarkan maklum balas daripada ahli kami, kenaikan harga jualan sekitar satu hingga dua peratus sahaja adalah lebih realistik, dan bukan 10 hingga 20 peratus secara mendadak.
"Peningkatan kecil ini dianggap mencukupi untuk menampung mana-mana kos tambahan," katanya.

Presiden REHDA, Datuk Ho Hon Sang.
Image via STU/Shawal AzaniProjek berskala kecil dan sederhana masih bergantung kepada bahan binaan tempatan
Hon Sang turut menjelaskan, sektor hartanah dan pembinaan negara masih bergantung secara besar-besaran kepada bahan binaan tempatan, khususnya bagi projek berskala kecil dan sederhana, dengan kebanyakan bahan mudah diperoleh dalam pasaran domestik.
"Nisbah penggunaan bahan binaan tempatan kekal dominan berbanding bahan import yang dilihat sebagai satu kelebihan kerana ia membantu menstabilkan kos pembinaan serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan kerajaan tidak menolak kemungkinan melonggarkan syarat import sekiranya langkah itu diperlukan bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan rakyat.
Mengulas kenyataan itu, Hon Sang memaklumkan tujuan membenarkan import adalah untuk memastikan harga bahan binaan kekal kompetitif dan tidak menjejaskan kemampuan rakyat membeli rumah, selain menjadi peringatan kepada pengeluar tempatan supaya memastikan harga terkawal.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Dr Azman Ibrahim (Facebook)Prospek pasaran perumahan 2026 dilihat stabil tanpa peningkatan harga melampau
Walau bagaimanapun, harga tinggi bagi bahan asas seperti keluli dan besi masih memberi tekanan kepada industri pembinaan.
"Kos operasi yang meningkat menyebabkan kos pembinaan secara keseluruhan turut naik, termasuk kesan daripada SST serta penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap lebihan muatan lori.
"Oleh itu, kos pembinaan dijangkakan meningkat sekitar dua hingga tiga peratus, manakala kesannya terhadap harga jualan dijangka hanya separuh daripada kadar itu," katanya.
Secara keseluruhan, beliau melihat prospek pasaran perumahan 2026 sebagai stabil dan berhati-hati tanpa lonjakan harga yang mendadak, selari dengan realiti ekonomi semasa dan keutamaan terhadap kemampuan rakyat untuk memiliki rumah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 