Haniff Kini Sertai Hot FM, Bergandingan Bersama Fizi Dalam Segmen Baharu Hot Vibe Club
Tak sabar nak dengar!
Cover image via Hot FMFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Haniff Hamzah kini sah menyertai stesen radio Hot FM, akan ke udara dalam segmen Hot Vibe Club bersama Fizi Ali bermula hari ini
Menerusi laporan Berita Harian, segmen itu akan bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga 7 malam, ke udara pada waktu puncak dengan konsep santai dan menghiburkan.
Menurut Haniff, meskipun memiliki lebih dua dekad pengalaman dalam dunia penyiaran, mengakui tetap berasa gementar memulakan tugas di stesen baharu.
"Minggu pertama dan kedua adalah tempoh paling kritikal kerana di situ kami akan tahu sama ada pendengar menerima gandingan ini atau tidak. Kami perlu membuktikan keserasian dan mencorakkan persembahan supaya pendengar selesa," katanya.
Mengendalikan segmen EH! It's Ean and Haniff On The Fly Breakfast dalam bahasa Inggeris sebelum ini, Haniff memaklumkan akan turut menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu ketika bersiaran.
"Walaupun pernah bersiaran dalam tempoh agak lama sebelum ini, bahasa pertama saya tetap bahasa Melayu. Fizi juga sering mengingatkan supaya saya tidak tersasul," katanya.
Ke udara secara solo sebelum ini, Fizi Ali teruja dapat bergandingan bersama Haniff
Bagi Fizi pula, dia menyifatkan peluang bergandingan dengan Haniff ini sebagai impian yang menjadi kenyataan.
"Saya sudah lama mendengar suara Haniff sejak zaman remaja. Tidak sangka dapat bekerja bersama idola sendiri.
"Segmen kami lebih santai kerana waktu petang adalah masa pendengar pulang dari kerja. Kami mahu mereka relaks dan terhibur," kata Fizi.
Fizi sebelum ini mengendalikan segmen petang Hot Squad secara solo. Penyertaan Haniff juga dilihat sebagai langkah strategik Hot FM untuk terus kekal relevan dalam industri penyiaran radio yang kompetitif.
Hot FM mahu terus komited memperkenalkan kandungan berkualiti tinggi selain tampil dengan pembaharuan lebih segar, moden dan berani bagi menawan hati pendengar.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



