Hampir 500,000 Transaksi Direkod, Pengguna Minta JustGO Diperluaskan
Masalah pilih lorong tol mungkin bakal selesai, JustGO rekod hampir 500,000 transaksi, pengguna kini harap ia diperluaskan segera.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sistem pembayaran tol berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR), JustGO, merekodkan hampir 500,000 transaksi sejak projek rintisnya dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Januari lalu
Permintaan terhadap sistem ini juga dilihat semakin meningkat, khususnya dalam kalangan pengguna di luar kawasan operasi semasa.
Norhasimah Mustafa dari Shah Alam berkata beliau mendaftar selepas mengetahui tentang sistem itu melalui rakan.

"Saya selalu ulang-alik ke utara untuk urusan kerja. Setiap kali dekat plaza tol, kena fikir dulu lorong mana yang sesuai dengan mod pembayaran. Kalau sistem ini membebaskan saya daripada semua tu, memang besar manfaatnya. Pengguna seperti saya perlukan kemudahan ini di tempat kami menetap," katanya.
Azri Ismail dari Nilai turut berkongsi pengalaman sama.
"Hari-hari ada lorong kosong tapi tak boleh masuk sebab mod pembayaran tak sama. Kadang peranti atau pelekat ada masalah, terpaksa beratur panjang di lorong lain. Bila dengar sistem ini tak perlu semua tu dan bebas guna mana-mana lorong, memang nak cuba," katanya.
Konsep "lane freedom"
JustGO memperkenalkan konsep "lane freedom" yang membolehkan pengguna melalui mana-mana lorong tol tanpa kad, peranti atau pelekat.
Sistem ini mengesan nombor plat secara automatik dan caj diproses terus kepada kaedah pembayaran dalam aplikasi, tanpa kos pendaftaran.
Berbeza dengan sistem terdahulu, JustGO dibangunkan sebagai platform terbuka, membolehkan lebih banyak konsesi lebuh raya menyertainya pada masa akan datang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peningkatan transaksi merupakan perkembangan positif.
"Petanda baik bahawa sistem ini boleh diuruskan," katanya.
Beliau turut menegaskan sasaran kerajaan untuk melaksanakan sistem tol pelbagai lorong bebas halangan (MLFF) sepenuhnya menjelang 2027.

Setakat ini, aplikasi JustGO telah merekodkan hampir 250,000 muat turun. Projek rintis pula melibatkan sembilan plaza tol di jajaran Hutan Kampung ke Sungai Dua sepanjang 87.7 kilometer, dengan keseluruhan 78 lorong terlibat.
"Saya sudah menggunakan mod ini dalam beberapa bulan. Masalah yang saya hadapi sekarang ni bukan dengan sistem, masalahnya sistem ini belum sampai ke mana saya berada. Saya harap perluasan dapat dipercepatkan untuk kemudahan pengguna lebuh raya," kata seorang lagi pengguna dari Perlis, Radzi Zin.
Secara keseluruhan, perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah awal ke arah sistem tol yang lebih efisien dan mesra pengguna di Malaysia, selari dengan perancangan pelaksanaan MLFF pada masa hadapan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

