Graduan TVET Daripada Juruteknik Kini Pegang Jawatan Sebagai Juruterbang
Tabik!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuktikan dapat merealisasikan impian menjadi seorang juruterbang dengan bermula sebagai juruteknik
Menerusi laporan Bernama, individu tersebut, Buvanraj Rajasingam, 32, berkongsi telah menyimpan cita-cita terbabit sejak kecil semasa mengikut bapanya yang merupakan seorang juruteknik pesawat ke tempat kerja.
Menurutnya, dia telah mengharung pelbagai cabaran sebelum dapat menjadi Pegawai Pertama syarikat penerbangan AirAsia pada tahun ini.
"Pada mulanya saya berhasrat menjadi juruterbang, tetapi pada masa itu peluang agak terhad. Jadi, ayah menasihatkan saya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang dahulu untuk memperkukuh asas dan pemahaman tentang pesawat," katanya.
Buvanraj membuktikan laluan TVET mampu membuka peluang kerjaya berperingkat sehingga ke tahap tertinggi dalam industri penerbangan ketika dia memulakan perjalanannya dengan mengambil jurusan penyelenggaraan pesawat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam.

Pendedahan awal memudahkan peluangnya diterima masuk ke program latihan juruterbang
Dia kemudiannya menyertai Program Juruterbang Kadet Air Asia pada 2023 untuk mengejar cita-citanya selepas menamatkan pengajian dan menerima lesen sah untuk berkhidmat sebagai Juruteknik Kapal Terbang di syarikat penerbangan itu selama lapan tahun.
Pendedahan awal tentang sistem pesawat serta pengalaman bekerja memudahkannya melepasi lima peringkat ujian saringan sebelum diterima masuk ke program latihan juruterbang selama dua tahun.
"Berbeza dengan mereka (daripada Sijil Pelajaran Malaysia) yang masuk terus ke bidang juruterbang, mereka tidak tahu bagaimana kapal terbang berfungsi atau mengaktifkan sistem. Jadi mereka perlu belajar asas sistem dari awal.
"Bagi kami yang ada latar belakang penyelenggaraan kapal terbang sudah mempelajari semua sistem itu secara terperinci. Jadi kami boleh terus fokus kepada latihan penerbangan seperti cara menerbangkan dan mendaratkan kapal terbang," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 