Gen Z Ubah Budaya Tempat Kerja, Tak Jadikan Isu Jawatan Sebagai Matlamat Utama – Pakar
Pakar memberitahu gen Z lebih fokus kepada impak sosial, kesejahteraan mental dan pembangunan diri berterusan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Generasi Z atau Gen Z mungkin adalah golongan yang paling muda dalam sektor pekerjaan
Menurut pakar pengurusan modal insan, golongan inilah yang telah mengubah budaya tempat kerja dan tidak menjadikan jaminan pekerjaan atau jawatan berprestij sebagai matlamat utama.
Menerusi laporan Bernama, Ketua Modal Insan Kumpulan Padiberas Nasional Bhd, S Prakash memberitahu Gen Z ialah generasi digital pertama yang lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an.
Mereka tidak hanya mencari kerja tetapi mahukan peranan yang lebih bermakna seiring dengan nilai dan gaya hidup yang diharapkan mereka.
Tambahnya, Gen Z kini lebih fokus kepada impak sosial, kesejahteraan mental dan pembangunan diri berterusan. Ia telah mendorong majikan melihat semula maksud sebenar 'bekerja', iaitu bukan sahaja mengenai gaji tetapi juga pengalaman kerja yang lebih seimbang dengan kehidupan.
"Berbeza dengan generasi sebelumnya seperti Gen X dan Millennials, Gen Z sering dilihat lebih lantang dan sensitif dari segi emosi.
"Malah kadangkala dilabel sebagai 'manja', namun mereka lebih cenderung memilih pekerjaan yang memberi makna dan fleksibel berbanding mengejar jaminan kerja atau jawatan tinggi dalam syarikat.
"Meskipun sering diberikan tanggapan atau label tertentu, Gen Z kini memainkan peranan penting dalam dunia pekerjaan dan sedang mengubah cara kita bekerja dan berhubung di tempat kerja," katanya.
Tak teragak-agak untuk tinggalkan organisasi yang tak selari dengan nilai hidup mereka
Sementara itu, Prakash yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam pengurusan modal insan dan sumber manusia mendapati bahawa Gen Z lebih berjaya jika berada di bawah ketua yang dapat memberi tunjuk ajar bukan mengawal.
Malah, mereka ini tidak teragak-agak untuk meninggalkan organisasi yang tidak selari dengan nilai hidup mereka.
"Satu daripada soalan yang paling biasa ditanya oleh Gen Z semasa temuduga ialah 'apakah sumber pembangunan dan sokongan yang akan saya terima bagi jawatan ini?'.
"Mereka ingin tahu apa yang mereka dapat selepas itu, bukan hanya dalam lima tahun tetapi juga tugasan seterusnya selepas diterima berkerja.
"Apabila idea mereka ditolak, mereka tidak menerimanya bulat-bulat sebaliknya mereka mahukan penjelasan, perbincangan dan pilihan cadangan yang lebih baik.
"Mereka juga mengharapkan tempat kerja yang menyokong potensi diri secara berterusan, dengan pengurus yang mampu membimbing bukan hanya mengarah. Mereka juga menghargai maklum balas dan ruang untuk menyumbang dengan lebih bermakna," katanya.
Katanya, Gen Z kini lebih mengutamakan fleksibiliti, sama ada berkerja secara jarak jauh, waktu kerja anjal atau kebebasan dalam menyelesaikan tugas, selain tidak gemar dikawal secara keterlaluan.
Meskipun mereka kadangkala disalah anggap sebagai antisosial atau sukar menangani tekanan, mereka sebenarnya responsif terhadap interaksi yang jujur dan maklum balas yang membina, asalkan ia disampaikan dengan empati dan secara hormat.
"Gaya kepimpinan yang terbaik bagi Gen Z ialah komunikasi yang berlandaskan matlamat, sokongan berorentasikan bimbingan dan pemerkasaan berasaskan kepercayaan.
"Gen Z tidak menunggu untuk syarikat berkembang, sebaliknya mereka lebih bersifat keusahawanan dan tidak takut untuk mencipta jalan mereka sendiri dengan meneroka usaha baharu," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 