Gadis Dari Teluk Intan Cipta Sejarah Terima Anugerah Global ‘Junior Nobel Prize’ Kali Kedua Berturut-Turut
Beliau menjadi pelajar kejuruteraan pertama dan satu-satunya yang berjaya memenangi anugerah itu dua tahun berturut-turut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelajar kejuruteraan bioperubatan, Balvinder Kaur Dhillon berjaya memenangi Global Undergraduate Award for Engineering, sekali gus membawa pulang anugerah yang juga dikenali sebagai 'Junior Nobel Prize' buat tahun kedua berturut-turut
Menerusi laporan Asia Samachar, Balvinder, yang menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda 'MEng in Biomedical Engineering' tahun ini di Queen Mary University of London, telah mengemukakan kertas kerja yang membincangkan persimpangan AI, robotik dan penjagaan kesihatan.
Kertas kerja yang berjaya memberinya anugerah itu, 'Developing a Multimodal Deep Learning Pipeline for Automated Glioma Subregion Segmentation and 3D Reconstruction with Integrated Spatial Analysis for Clinical Insight', telah dijalankan semasa tahun keempatnya di Queen Mary, diselia oleh Prof Zion Tse dan Dr Hadi Sadati.
Anugerah itu telah menarik 3,567 penyertaan daripada 352 universiti dari 99 negara, menjadikan projek Balvinder berada dalam 1% teratas, menurut pengumuman rasmi Queen Mary.
Dengan pencapaian terbaru ini, beliau kini tergolong dalam antara kumpulan elit, hanya dua individu dalam sejarah Global Undergraduate Awards yang telah memperoleh anugerah berturut-turut dan Balvinder merupakan satu-satunya pemenang berganda dalam kategori Kejuruteraan.

Berasal dari Teluk Intan, Balvinder kini kini melanjutkan pengajian Sarjana dalam 'Human and Biological Robotics' di Imperial College London
Mengimbas kembali perjalanannya, Balvinder berkongsi kejayaan yang dikecapinya bukanlah sesuatu yang 'datang bergolek'.
"Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, pengajaran terbesar yang saya pelajari ialah kemajuan jarang datang daripada kejayaan yang tiba-tiba.
"Ia datang daripada konsistensi, langkah-langkah kecil yang bertambah dari semasa ke semasa dan rasa ingin tahu yang sebenar untuk mencabar andaian dan melangkaui status quo," katanya.
Berasal dari sebuah pekan di Teluk Intan, Perak, Balvinder yakin lebih banyak bakat yang boleh dicungkil dalam komuniti tempatan dengan adanya pelbagai inisiatif dan peluang diberikan.
"Saya percaya terdapat peluang sebenar untuk membina lebih banyak inisiatif yang menyokong dan memupuk bakat dalam komuniti kita, terutamanya bagi komuniti Sikh di Malaysia untuk mengikuti bidang seperti teknologi, kejuruteraan dan penjagaan kesihatan tidak kira peringkat umur," tulis Balvinder di LinkedIn.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 