Ejen Ali The Movie 2 Kini Berjaya Raih RM34.2 Juta Di Pawagam, Pecah Rekod Filem Pertama!

Pencapaian ini turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari, sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya

Pencapaian ini turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Lebih membanggakan, EATM2 juga berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025 seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch, sekaligus membuktikan kehebatan karya tempatan yang menerima saingan sengit di layar perak.

Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2. Pencapaian memberangsangkan ini dipacu oleh kehadiran luar biasa penonton di pawagam, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu. 

Ramai penonton berkongsi bahawa mereka telah menonton filem ini lebih daripada sekali, dan teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti beriadah bersama di musim cuti!

Kejayaan ini turut mencerminkan perkembangan positif dalam penerimaan filem animasi tempatan yang dilihat semakin mendapat tempat di hati khalayak umum

Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin berkata, "Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa.

"Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali. Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam".

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof turut berkongsi rasa syukur terhadap rekod baharu yang dicapai.  

"Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2. Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali.

"Diharapkan sambutan hangat daripada peminat filem tempatan akan berterusan, agar EATM2 terus melakar sejarah di layar perak," katanya.

EATM2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Bagi yang belum menyaksikannya, inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada fenomena animasi terbesar Malaysia!

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: