Ejen Ali The Movie 2 Dinobatkan Sebagai ‘Best Animation’ Di Asian Academy Creative Awards 2025
Tahniah!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah lagi kejayaan industri kreatif Malaysia di persada global dicapai apabila Ejen Ali The Movie 2 dinobatkan sebagai Pemenang Kebangsaan kategori Best Animation di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025
Diarah oleh Usamah Zaid Yasin (WAU Animation Sdn. Bhd.), filem penuh aksi animasi mempesona dan meledakkan emosi ini berjaya memenangi anugerah Best Animation di peringkat kebangsaan (National Winner) di AACA 2025.
Sekuel ini mendapat sambutan luar biasa dengan kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand, sekali gus menjadikan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia dengan memecahkan rekod sebelumnya serta mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di tanah air.
Lebih membanggakan, filem ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Best Animated Film di Silk Road International Film Festival ke-12 di China baru-baru ini.

Turut memenangi anugerah ialah drama BRU dan rancangan televisyen Click To Health Season 4
Drama BRU karya Nik Amir Mustapha (Lumatic Films Sdn Bhd) diumumkan sebagai pemenang kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di AACA 2025.
Dibarisi pelakon hebat tanah air, drama ini menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang lelaki yang obses dengan kopi dan kejayaan, di samping Siti Hariesa yang membawa watak Hani, seorang barista berbakat dan Amerul Affendi sebagai Ajan, sahabat setia yang menganggap Shah seperti adiknya sendiri.
Anugerah Best Lifestyle Programme dimenangi oleh 8TV menerusi Click To Health Season 4. Program yang dihoskan oleh Desmond Tey ini membawa penonton menerokai isu kesihatan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada topik-topik semasa serta pendedahan tentang pelbagai kaedah perubatan moden.
Kejayaan-kejayaan ini melayakkan Media Prima dan barisan rakan pengkarya kreatif bersaing bersama wakil terbaik Asia Pasifik di Grand Awards dan Gala Finals yang bakal berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 & 4 Disember 2025.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 