Dr Akmal Umum Letak Jawatan EXCO Melaka, Kekal Sebagai Ketua Pemuda UMNO
Perkara itu diumumkan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Melaka
Menerusi laporan Berita Harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang disandang sejak April 2023 itu akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Keputusan itu diumumkan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini, menjelaskan akan kekal dengan jawatan Ketua Pemuda pergerakan berkenaan.
Menurut Dr Akmal, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Saya mohon maaf. Hari ini saya nak umumkan, untuk menunjukkan bahawa saya bawa suara akar umbi yang keresahan, saya letak jawatan sebagai EXCO (kerajaan negeri) berkuat kuasa minggu depan," katanya.

Pada awalnya berancang mahu lepaskan semua jawatan
Menurut laporan Harian Metro, beliau memberitahu pada peringkat awal mahu melepaskan semua jawatan termasuk sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimanapun katanya, selepas mendapat nasihat Ahmad Zahid dan Ab Rauf, beliau membuat keputusan untuk tidak meletakkan jawatan dalam sayap UMNO itu kerana tidak mahu lari dari perjuangan.
"Kalau ada orang yang cakap dengan lari dari perjuangan, saya nak beritahu tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda UMNO pada hari ini.
"Bagi saya jawatan dalam kerajaan tidak penting, tetapi apa yang lebih penting maruah, prinsip dan suara akar umbi ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 