Dino Nico G Diserang Penyakit Stroke Selepas Makan 7 Biji Durian Jenis Kampung
Faktor merokok sejak muda juga antara faktor masalah kesihatan yang dialaminya ketika ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Disebabkan makan tujuh biji durian, anggota kumpulan Nico G, Dino mendakwa ia kemungkinan menjadi punca dia diserang angin ahmar atau stroke awal Julai lalu
Menerusi laporan Harian Metro, Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli berkata dia hanya mampu tabah menghadapi ujian diserang stroke yang dialami pada bahagian kanan badannya ketika ini.
"Sebelum kena stroke kira-kira sebulan lalu, saya sebenarnya ada makan tujuh biji durian seorang diri dalam tempoh sehari saja.
"Esoknya, ketika bekerja saya rebah tiba-tiba. Saya memang gemar makan durian dan setiap kali ada musim (durian) saya mesti akan beli dan makan.
"Jadi, bila sudah diserang stroke, saya tidak menolak kemungkinan ia barang kali ada kena-mengena dengan faktor pemakanan saya sendiri.
"Saya pun suka makan benda-benda manis juga. Malah, selepas dibawa berjumpa doktor, masa bercakap pun, mulut saya masih lagi berbau durian," katanya.

Dino menerima kunjungan daripada Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Image via BernamaJadi perokok tegar turut dikatakan menjadi faktor diserang stroke
Menurut Dino, mungkin bukan sekadar makan durian saja, tetapi dia juga adalah perokok tegar sejak muda yang didakwanya turut menjadi faktor terhadap masalah kesihatan dialaminya ini.
Dino memaklumkan dia kini menetap bersama keluarga ibu dan bapa saudaranya dan pada masa sama mengakui berhadapan masalah kewangan.
"Sejak sakit stroke sebulan lalu, saya juga tidak bekerja lagi dan tidak dinafikan memang menghadapi masalah kewangan. Pada ketika ini, saya harus berehat.
"Saya pun hanya bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah. Tapi, buat masa ini majikan beri saya cuti sehingga benar-benar pulih dan boleh bekerja semula.
"Pihak majikan juga tidak lepas tangan dan ada menghulurkan sumbangan RM500. Cuma, sekarang ini saya memang tiada pendapatan langsung dan sebab itu saya minta bantuan," katanya.
Tambahnya, dia memerlukan bantuan kewangan segera untuk digunakan bagi menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua minggu sekali.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 