DBKL Turunkan Caj Sewa Tapak Bazar Daripada RM500 Kepada RM400 – Hannah Yeoh
Berita baik buat penjaja bazar Ramadan!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Caj sewa tapak bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diturunkan kepada RM400 berbanding RM500 pada tahun lalu
Menerusi laporan Free Malaysia Today, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban kos sara hidup penjaja kecil yang terlibat.
"Pengurangan RM100 ini sama tidak kira untuk tapak dikendalikan DBKL ataupun persatuan penjaja.
"Bila kita turunkan kadar caj, saya berharap peniaga juga akan munasabah bila mereka menggunakan harga-harga makanan mereka," katanya.
Tambahnya, skim perlindungan insurans juga diperkenalkan untuk semua peniaga sekiranya berlaku kecederaan atau kemalangan semasa mengendalikan perniagaan di tapak bazar.

Pelaksanaan tahun ini menggunakan 'model hibrid' melibatkan 41 lokasi bagi mengelakkan kemelut yang timbul pada tahun lalu berulang
Menurut Yeoh, sembilan lokasi akan diselia penuh DBKL manakala 32 lokasi akan dikendalikan tiga persatuan penjaja utama yang telah dikenal pasti.
"Keputusan kembali kepada model hibrid ini dibuat selepas proses 'post-mortem' mendapati sistem undian terbuka tahun lalu menyebabkan ramai penjaja lama dihalau ke lokasi yang sangat jauh sekali gus menafikan hak mereka yang sudah sekian lama berniaga di sesuatu kawasan.
"Ini juga bagi menjawab keluhan persatuan penjaja yang sebelum ini tidak dapat membantu ahli-ahli mereka akibat sistem terbuka tersebut," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via UtusanBeri amaran keras kepada mana-mana pihak untuk tidak melakukan kegiatan 'sewa atas sewa'
Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan atas penurunan kadar caj tersebut dengan melakukan aktiviti sewa atas sewa atau 'sublet'.
"Sebarang amalan 'sublet', jual beli tapak atau pengambilan untung berlebihan adalah dilarang sama sekali. Tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi, termasuk merampas lesen serta-merta jika dikesan berlaku pelanggaran," katanya.
Beliau berkata, DBKL akan menyelaraskan kos pengurusan dengan persatuan melalui subsidi tertentu bagi memastikan tapak bazar sentiasa bersih dengan beban kewangan tidak dipindahkan kepada penjaja.
Bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, beliau memaklumkan tiada perubahan kadar caj dibuat dan ia kekal seperti tahun-tahun sebelum ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 