DBKL, Istana Budaya & MPO Bergading Bahu Meriahkan Lagi Festival Okestra Kuala Lumpur 2025
Festival Orkestra Kuala Lumpur telah menjadi salah satu program tahunan DBKL untuk mengangkat seni muzik orkestra tempatan ke tahap lebih tinggi.
Cover image via Dewan Bandaraya Kuala LumpurFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) baru-baru ini dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Seri Maimunah Mohd Sharif bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur baru-baru ini
Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya, serta mempelbagaikan pengalaman melancong di ibu negara.
Langkah ini juga selaras dengan inisiatif Warisan Kuala Lumpur yang bertujuan menghidupkan semula pusat bandar sebagai hab kreatif yang aktif, meriah dan penuh daya tarikan.
Image via Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Melalui MoU ini, pelbagai program utama akan dilaksanakan, termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat serantau.
Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
Kerjasama ini juga akan diteruskan sehingga tahun 2026 dengan pelaksanaan FOKL dalam skala yang lebih besar dan impak yang lebih meluas kepada masyarakat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur turut merasmikan Festival Orkestra Kuala Lumpur yang menjadi salah satu program tahunan DBKL untuk mengangkat seni muzik orkestra tempatan ke tahap lebih tinggi
Festival ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan bakat muzik, malah turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam kegiatan seni budaya yang inklusif, memberi impak dan bertaraf antarabangsa.
FOKL bukan sekadar program persembahan muzik, sebaliknya ia juga menjadi platform pembangunan ekosistem seni dan budaya melalui penglibatan para pelajar yang terpilih.
Para peserta akan diberi peluang untuk terlibat secara langsung melalui persembahan orkestra sekolah yang dijadualkan pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL.
Tambahan pula, DBKL turut menjalin kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai satu lagi usaha membina potensi generasi muda.
Sebagai pengisian yang bersifat ilmiah, DBKL turut menganjurkan Orchestra Festival Forum yang menjadi ruang perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman, bagi membina ekosistem orkestra yang kukuh dan mampan di Malaysia.
Generasi muda bukan hanya diberi peluang untuk menjadi pemuzik berbakat, tetapi juga diasah keyakinan diri dan kreativiti agar mereka mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan seni negara.
Kerjasama ini juga memperkukuh peranan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa, terutamanya pada tahun ini Malaysia mempengerusikan persidangan ASEAN dan pada masa yang sama dalam persiapan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Melalui penglibatan aktif dalam program berfokuskan ASEAN seperti MGMAC, ASUF dan AGMF, Kuala Lumpur akan terus dikenali sebagai pintu masuk bagi budaya dan seni serantau. FOKL pula akan diteruskan sebagai platform budaya yang menyatupadukan komuniti di seluruh rantau ini.
Selaras dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang sejahtera dan disayangi, pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memastikan keterangkuman dan akses yang adil
Antaranya termasuk penganjuran konsert amal bagi menyokong Persatuan Orang Buta Malaysia serta penyediaan tempat duduk khas bagi individu kurang upaya di setiap konsert.
Sebanyak 70% tempat bagi penonton konsert juga akan dibuka secara percuma kepada orang ramai, agar lebih ramai warga kota dapat menikmati seni dan budaya tanpa mengira latar belakang.
Keseluruhan pendekatan ini disokong oleh model kerjasama 4P – Public, Private, People, Partnership yang memberi tumpuan kepada keterlibatan pelbagai pihak demi menjamin impak jangka panjang dan rasa pemilikan bersama oleh komuniti.
DBKL berharap agar kerjasama ini bukan sahaja mampu memperkukuh industri seni dan budaya tempatan, malah turut membawa manfaat besar kepada warga Kuala Lumpur.
Dengan sokongan semua pihak, DBKL percaya bandar ini mampu terus berkembang sebagai sebuah kota yang penuh dengan semangat, kreativiti dan rasa cinta kepada warisan dan budaya.
Band Quarto dan Migos juga turut hadir memberikan sokongan dalam menjayakan Festival Okestra Kuala Lumpur 2025.
Image via Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


