DBKL Diperintah Bayar Ganti Rugi Lebih RM800,000 Kepada Ibu Bapa Mangsa Pokok Tumbang

Insiden berlaku pada tahun 2023 ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pasangan suami isteri kematian anak lelaki akibat dihempap pokok tumbang, berjaya memperoleh ganti rugi berjumlah RM824,180

Menerusi laporan Berita Harian, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Effandi Nazila Abdullah memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur selaku defendan, membayar ganti rugi selepas membenarkan tuntutan saman, Gooi Ling Sim, 61, dan Phun Kok Hoi, 63, selaku tanggungan kepada mendiang Phun Mun Lap, 30.

Hakim memutuskan bahawa pokok yang tumbang berkenaan berada bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kemalangan tidak akan berlaku tanpa unsur kecuaian dalam pemantauan serta penyelenggaraan pihak terbabit.

Effandi Nazila dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Mac lalu, berkata pokok yang tumbang berkenaan berada bawah selenggaraan DBKL dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah jelas serta kukuh.

Beliau berkata, mahkamah mendapati defendan ketika memberi keterangan di mahkamah, tidak mempertikaikan pokok itu berada bawah selenggaraan DBKL, sebagaimana disokong oleh keterangan saksinya sendiri.

"Defendan juga mengaku pokok yang tumbang itu terlalu besar dan tidak diselenggara sebagaimana sepatutnya. Selain itu, defendan mengaku tidak mempunyai bukti dokumen yang menunjukkan kerja penyelenggaraan atau pemantauan seperti memotong, menggunting atau memangkas pokok itu pernah dilaksanakan.

"Memandangkan ketika memberi keterangan di mahkamah, defendan gagal mengemukakan sebarang bukti mengenai kerja penyelenggaraan atau pemantauan terhadap pokok itu, maka berdasarkan prinsip res ipsa loquitur, tanggungan (liabiliti) adalah terletak sepenuhnya di atas pihak defendan," katanya.

SAYS.com
Image via New Straits Times

Dalam insiden pada 22 Mac 2023, Mun Lap yang sedang menunggang motosikal ke tempat kerja di Jalan Kuching, dihempap sebatang pokok tumbang dari pembahagi jalan berhampiran pintu gerbang DBKL, berdekatan Pasar Harian Selayang

Kejadian mengakibatkan mangsa yang bekerja sebagai pemandu kren, mengalami kecederaan parah sebelum dirawat di Hospital Selayang dan telah disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2023.

Effandi Nazila berkata defendan gagal melaksanakan kewajipan statutori dan tanggungjawab berhati-hati dalam menjalankan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan, pencegahan serta kawalan bagi memastikan pokok di pembahagi jalan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

"Saksi defendan turut mengaku DBKL mempunyai kewajipan statutori bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk menyelenggara serta memantau pokok-pokok yang ditanam," katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur membayar kos pengebumian Mun Lap sebanyak RM26,180, ganti rugi kehilangan tanggungan (RM768,000), dan ganti rugi kedukacitaan (RM30,000).

Empat saksi plaintif dan defendan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang dijalankan selama dua hari pada September 2025. Defendan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi

SAYS.com
Image via NSTP

Ibu bapa mangsa dakwa kejadian berlaku atas kecuaian DBKL

Dalam tuntutan saman yang difailkan, kedua-dua ibu bapa mangsa mendakwa bahawa kemalangan terbabit berpunca daripada kecuaian keseluruhan daripada DBKL.

PBT tersebut juga didakwa gagal memastikan pokok yang ditanam di pembahagi jalan tidak tumbang ke atas jalan raya, selain gagal menjalankan kerja-kerja pemotongan, pengguntingan serta pemangkasan ke atas pokok yang tidak selamat.

Pasangan itu turut mendakwa DBKL gagal memastikan langkah keselamatan dipasang bagi mengelakkan kejadian pokok tumbang, selain tidak menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan pokok berada dalam keadaan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

Selain itu, DBKL didakwa gagal memilih jenis pokok yang sesuai untuk ditanam serta tidak mewujudkan jarak atau zon keselamatan yang mencukupi antara pokok dengan pengguna jalan raya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik