Dazrin Kamarudin Berdamai Dengan Takdir, Bangkit Bina Empayar Tanpa Dendam

Fokus utama Dazrin adalah untuk membangunkan empayar perniagaannya, Al Aqsa Carpets.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Al Aqsa Carpets
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin mendedahkan rahsia di sebalik ketenangan jiwanya hari ini setelah melalui fasa kejatuhan yang cukup perit dalam hidupnya

Pernah berdepan detik hitam sehingga kehabisan wang simpanan, Dazrin kini memilih untuk berdamai dengan takdir dan meneruskan kehidupan tanpa menyimpan sebarang dendam.

Bercakap dalam satu majlis pelancaran gedung jualan karpet miliknya baru-baru ini, pelakon drama Adam & Hawa itu menyifatkan pengalaman hidup susah telah mengajarnya untuk menjadi lebih matang dan prihatin terhadap kesusahan orang lain.

Zaman kejatuhan "hampir hilang kewarasan" dan kini berdamai dengan takdir

SAYS.com

Dazrin Kamarudin

Image via Al Aqsa Carpets

Mengimbau detik getir beberapa tahun lalu, Dazrin, 37, tidak berselindung mengenai realiti industri seni yang pernah dialaminya. Menurutnya, sewaktu namanya berada di puncak, ramai pihak cuba mendekati dan mengaku saudara, namun segala-galanya berubah sebaik sahaja dia diuji dengan kegagalan.

"Itu adalah lumrah kehidupan. Dahulu, waktu saya aktif berlakon, semua mahu rapat. Tetapi apabila saya jatuh, saya sendirian di rumah sehingga hampir hilang kewarasan. Malah, ada produser yang berjanji memberi tawaran berlakon pun sekadar cakap kosong sahaja," luahnya.

Tambah Dazrin lagi, dia pernah berdepan situasi kewangan yang sangat serius sehingga terpaksa mengorek tabung simpanan semata-mata untuk mengisi minyak kereta bagi meneruskan kelangsungan hidup.

SAYS.com
Image via Al Aqsa Carpets

Meskipun pernah dilupakan oleh rakan-rakan industri sewaktu sukar, bapa kepada dua cahaya mata ini menegaskan bahawa dia tidak pernah menyimpan niat untuk membalas dendam terhadap sesiapa.

"Saya tidak pernah menyimpan dendam. Saya sudah berdamai dengan takdir dan nasib. Apabila saya naik semula dalam perniagaan, ada yang datang kembali mendekati saya. Saya reda, bagi saya semua itu adalah ketentuan Allah yang tidak perlu dipersoalkan," katanya.

Misi membantu melalui perniagaan

Kini, fokus utama Dazrin adalah untuk membangunkan empayar perniagaannya, Al Aqsa Carpets, yang kian berkembang pesat. Pengalaman pahit itu juga menyuntik semangat kepadanya untuk membantu golongan yang memerlukan.

Prinsip perniagaannya kini lebih menjurus kepada nilai kebajikan, di mana dia sering menawarkan produk berkualiti tinggi dengan harga mampu milik agar semua golongan dapat merasai gaya hidup selesa.

"Saya tahu bagaimana rasanya hidup susah. Sebab itu sekarang saya cuba sedaya upaya untuk membantu orang lain melalui perniagaan saya. Walaupun kebanyakan material kami diimport, saya tidak mahu menjualnya dengan harga mahal kerana saya mahu ramai orang dapat menikmati kualiti terbaik," jelasnya menutup bicara.

Perjalanan hidup Dazrin Kamarudin menjadi inspirasi buat ramai bahawa kegagalan bukanlah noktah, sebaliknya satu pengajaran berharga yang mampu membentuk peribadi yang lebih kuat dan bersyukur.

SAYS.com
Image via Al Aqsa CarpetsImage via

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: