Datuk Rogol Cucu 14 Tahun Sampai Lahirkan Bayi Kena Penjara 18 Tahun, 24 Sebatan
Difahamkan, mangsa dirogol sebanyak dua kali pada tahun lalu sebelum melahirkan bayi lelaki pada Julai lalu.
Cover image via Sinar HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Sesyen di Sandakan, Sabah selepas mengaku bersalah merogol cucunya sehingga melahirkan anak
Menerusi laporan Sinar Harian, tertuduh yang berusia 52 tahun membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan tersebut kira-kira jam 9 pagi pada 13 Oktober tahun lalu di sebuah rumah sebelum mengulanginya dua hari kemudian di kawasan kebun sebuah kampung di daerah Sandakan.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut dihukum penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hukuman dijalankan serentak menjadikan secara keseluruhannya hanya 18 tahun penjara dan 24 sebatan
Hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak selama 18 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap manakala jumlah sebatan kekal sebanyak 24 sebatan di samping diarahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes, laporan polis dibuat olrh seorang wanita yang mendakwa anaknya melahirkan bayi lelaki akibat dirogol tertuduh. Mangsa bersama dua adiknya tinggal bersama tertuduh dan nenek mereka selepas ibu bapa bercerai.
Dia dirogol sebanyak dua kali pada tahun lalu sebelum melahirkan bayi lelaki pada Julai lepas dan perkara itu akhirnya terbongkar selepas diketahui ahli keluarga, sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh pada 23 Julai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azizi Hamil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



