Dari Perniagaan Sambal & Kosmetik, Aleeya Avenys Kini Bergelar ‘Tauke’ Batu Permata
Aleeya bertekad untuk mendidik masyarakat supaya lebih bijak dalam menilai kualiti barang kemas.
Cover image via @avenys (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Daripada kejayaan menceburi perniagaan sambal, kosmetik, dan suplemen, usahawan serta pempengaruh terkenal, Aleeya Zailan atau lebih dikenali sebagai Aleeya Avenys, kini mengorak langkah berani ke cabang perniagaan mewah melalui jenama Avenys & Co
Meskipun pernah melalui kepahitan hidup dan membesar dalam keluarga yang berpecah-belah, ibu kepada tiga cahaya mata ini enggan menoleh ke belakang. Sebaliknya, beliau menjadikan sejarah silam sebagai azimat untuk terus membina empayar perniagaan yang lebih besar.
Menurut Aleeya, penglibatannya dalam industri barang kemas bermula secara tidak sengaja. Berawal daripada hobi mengumpul berlian dan batu permata untuk koleksi peribadi, beliau akhirnya memutuskan untuk menjadikannya sebagai satu kerjaya profesional.
"Semuanya berlaku tanpa dirancang. Saya mula 'terjatuh hati' dengan berlian sehingga terbeli dalam kuantiti yang banyak. Lama-kelamaan, tercetus idea untuk menceburi perniagaan ini, malah saya turut mereka sendiri barang kemas yang diingini," katanya dengan teruja.
Kini, beliau memberikan 80 peratus tumpuan kepada Avenys & Co., manakala baki 20 peratus lagi diberikan kepada jenama penjagaan kulit Avenys yang kini sudah kukuh dan boleh didapati di premis besar seperti Guardian dan Aeon Wellness.

Misi didik pembeli agar tidak ditipu beli barang kemas
Selain faktor minat, Aleeya bertekad untuk mendidik masyarakat supaya lebih bijak dalam menilai kualiti barang kemas. Beliau tidak mahu lebih ramai pembeli menjadi mangsa penipuan berlian atau batu permata palsu.
Buat masa ini, koleksi eksklusif Avenys & Co. dihasilkan secara konsep 'made to order' dan boleh ditempah secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi mereka di www.avenys.com.

Di sebalik kejayaan ini, Aleeya mengakui reda dengan kehilangan akaun Instagram peribadinya yang mempunyai lebih 900,000 pengikut akibat digodam. Beliau juga berdepan cabaran besar di platform TikTok apabila akaun perniagaannya diharamkan (banned) sebanyak empat kali, sehingga mengakibatkan kerugian kewangan syarikat.
"Sedih memang sedih kerana akaun itu banyak kenangan. Sekarang saya lebih banyak menggunakan medium Facebook (Avenys) untuk sesi siaran langsung kerana terlalu banyak kekangan di TikTok," jelas isteri kepada Azri Aziz (Big Boss) ini.
Menyentuh mengenai kehidupan peribadinya, Aleeya baru-baru ini mencuri perhatian ramai melalui perkongsian vlog percutian mewah selama tiga minggu di Antartika. Walaupun ada netizen yang menyamakan kos percutian tersebut dengan pakej haji VIP, beliau memilih untuk tidak mengambil pusing.
"Macam-macam telahan netizen, tapi saya sudah imun. Apa yang penting bagi saya sekarang adalah menjaga keselamatan diri daripada penyakit ain dan terus fokus membangunkan perniagaan," tambahnya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



