“Dari Iklan Ke Layar Perak” – Bobby Hussaini Buktikan Sentuhan Emas Menerusi Filem Libang Libu

Filem Libang Libu dijadualkan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 23 April 2026.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Libang Libu
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Selepas lebih dua dekad mendominasi dunia pengiklanan dengan karya-karya beremosi tinggi, pengarah kreatif tersohor, Bobby Hussaini, kini melakar langkah berani ke industri perfileman tempatan menerusi filem sulungnya berjudul Libang Libu

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini menyifatkan peralihan tersebut bukan sekadar eksperimen, sebaliknya adalah impian yang telah lama disimpan untuk mencabar keupayaan kreatif beliau pada tahap yang lebih tinggi.

Sering dikaitkan dengan iklan-iklan perayaan yang menyentuh jiwa, Bobby mengakui elemen emosi tetap menjadi nadi dalam penceritaan Libang Libu. Walaupun naskhah ini mengangkat latar masyarakat Perak yang secara tidak langsung mengundang perbandingan dengan gaya Allahyarham Mamat Khalid. Bobby menegaskan filem ini mempunyai identitinya yang tersendiri.

"Arwah (Mamat Khalid) adalah idola saya dan perbandingan itu adalah satu penghormatan. Namun, Libang Libu tetap berdiri dengan gaya tersendiri. Ia bukan sekadar komedi, tetapi gabungan pelbagai kisah masyarakat yang dekat dengan kehidupan kita," ujar Bobby.

SAYS.com

Bobby Hussaini

Image via Libang Libu

Cabaran dialek & barisan pelakon gred A

Bagi memastikan naskhah ini benar-benar berjiwa, Bobby mempertaruhkan barisan pelakon berkaliber seperti Ameerul Affendi, Beto Kusyairi dan Nabila Huda. Cabaran utama dalam proses penggambaran menurut beliau adalah memastikan dialek Perak yang digunakan kekal asli namun tetap mudah difahami oleh penonton di seluruh negara.

Mengulas mengenai pandangan skeptikal terhadap gaya pengarahan iklan yang mungkin terbawa-bawa ke dalam filem, Bobby melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu dibuktikan di layar perak.

"Penonton perlu tonton dahulu sebelum membuat penilaian. Apa yang penting, saya tetap menghasilkan karya berdasarkan rasa dan mesej, bukan sekadar memenuhi jangkaan," katanya lagi.

Meskipun kini bergelar pengarah filem, Bobby menjelaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan dunia pengiklanan yang telah membina namanya. Sebaliknya, Libang Libu dianggap sebagai perluasan spektrum kreatif beliau dalam dunia pengarahan secara menyeluruh.

SAYS.com
Image via Libang Libu

Kemunculan Libang Libu dilihat seperti satu nafas segar yang datang tepat pada waktunya

Filem ini tampil dengan pendekatan yang lebih santai, mudah didekati dan dekat dengan jiwa penonton, namun dalam masa sama tetap membawa makna yang lebih besar tentang perpaduan, penerimaan dan kehidupan bermasyarakat.

Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, filem ini mengangkat sebuah kisah yang sangat Malaysia sifatnya. Premisnya berkisar tentang sebuah produksi filem bukan Melayu yang datang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak.

Daripada titik mula itu sahaja, penonton sudah boleh membayangkan bagaimana pelbagai ragam, budaya, kepercayaan dan cara hidup akan bertembung dalam ruang yang sama. Pertembungan inilah yang menjadi nadi utama kepada penceritaan Libang Libu, lalu diserlahkan dengan unsur komedi, drama, sindiran sosial dan momen-momen yang terasa akrab dengan pengalaman hidup masyarakat berbilang kaum di negara ini.

SAYS.com
Image via Libang Libu

Wakil penerbit daripada Tangerine Films Sdn. Bhd. pula menyifatkan Libang Libu sebagai sebuah projek yang lahir daripada keyakinan terhadap kekuatan cerita tempatan. Dalam era ketika filem dan drama asing begitu mudah diakses oleh penonton Malaysia, kenyataan ini membawa maksud yang cukup penting.

"Kami percaya penonton hari ini mahukan kandungan yang dekat dengan kehidupan mereka. Libang Libu menawarkan itu, yang mana sebuah kisah Malaysia sebenar yang dipersembahkan dengan nilai produksi yang berkualiti dan barisan pelakon yang kredibel," ujarnya.

Memang benar, penonton tempatan tidak pernah menolak cerita sendiri. Apa yang mereka mahukan ialah cerita tempatan yang dibuat dengan jujur, kemas, meyakinkan dan tidak memandang rendah kepada kecerdikan penonton. Jika sebuah filem mampu memaparkan realiti rakyat Malaysia dengan sentuhan yang segar dan mutu produksi yang baik, ia tetap mempunyai peluang besar untuk diterima. Libang Libu cuba bergerak atas landasan itu.

Untuk rekod, filem Libang Libu bakal ditayangkan mulai 23 April ini dan dibintangi ramai pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Ozlynn Wati, Zahiril Adzim, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Sara Ali, Syazwan Zulkifli, Kodi Rasheed, Azhan Rani dan ramai lagi.

SAYS.com
Image via Libang Libu

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

SAYS.com
Image via SAYS SeismikImage via