Dari China Ke Singapura, Johor & Kedah, Penculik Jejak & Dera Anak Keluarga Orang Kaya Ini
Mangsa didakwa dibebaskan oleh salah seorang suspek empat hari selepas penculikannya.
Cover image via China PressFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tular di media sosial apabila seorang anak lelaki berasal dari keluarga China yang kaya telah diculik baru-baru ini
Difahamkan, dia telah diculik di Johor pada 30 April lalu selepas memasuki ke Malaysia dari Singapura. Dia dibebaskan empat hari kemudian.
Menurut China Press, mangsa, seorang pelajar universiti berusia 18 tahun di Singapura, adalah anak kepada pasangan kaya raya China yang berpangkalan di Dubai, UAE.
Pada 30 April, dia meninggalkan negara itu dan melawat Iskandar Puteri, Johor, di mana dia diculik oleh sekumpulan warga China yang dipercayai memasuki Malaysia melalui Singapura.
Dalang di sebalik penculikan itu didakwa melakukan pemeriksaan latar belakang sebelum mangsa diculik.
Ibu mangsa, Cheng, 40, memberitahu penculik pada mulanya meminta wang tebusan 500,000 yuan (kira-kira RM290,000).
Bagaimanapun, jumlah itu kemudiannya dinaikkan kepada 3 juta yuan (sekitar RM1.7 juta). Cheng mendakwa penculik mengugut untuk membunuh dan memotong-motong anaknya jika tuntutan itu tidak dipenuhi.
Image via China Press
Salah seorang suspek mendakwa dia ditipu oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis yang mengarahkannya merakam mangsa didera dengan berpura-pura mencipta video kesedaran anti-penipuan
Malah, suspek didakwa merakam adegan penderaan di sebuah bilik hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur dan di ladang kelapa sawit di Kulim, Kedah.
Sebuah video yang diterbitkan di China Press menunjukkan mangsa diikat pada kerusi dan ditolak ke tanah, dengan suara berkata, "Anak awak kini dalam tangan saya."
Polis kemudian menahan suspek di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan itu tetapi enggan memberikan butiran lanjut mengenai siasatan yang sedang dijalankan.
Ibu bapa mangsa bercakap kepada wartawan China Press di luar balai polis di Kuala Lumpur.
Image via China Press
Mangsa dilaporkan telah dibebaskan oleh salah seorang suspek kira-kira jam 11 malam Ahad, 4 Mei lalu
Dikatakan, sebuah teksi telah ditempah untuk memudahkan dia dibebaskan.
Pada jam 1 tengah hari keesokan harinya, mangsa berjalan ke balai polis di Hulu Langat, Selangor, di mana dia meminjam telefon daripada pegawai untuk menghubungi keluarganya. Dia kemudian meninggalkan balai polis itu sendiri.
Kemudian, polis mengesannya di stesen minyak berhampiran dan membawanya pulang untuk disoal siasat.
Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur kemudiannya membawa mangsa ke beberapa lokasi di Pulau Pinang untuk membina semula urutan penculikan.
Pihak berkuasa dijangka membuat tangkapan tidak lama lagi dan siasatan lanjut akan diteruskan.
Image via China Press
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


