Bung Moktar Meninggal Dunia, Sabah ‘Kehilangan’ Pejuang Rakyat Yang Lantang & Tegas
Allahyarham dilaporkan telah dimasukkan ke hospital pada tengah hari semalam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah meninggal dunia di sebuah hospital swasta si Kota Kinabalu awal pagi tadi
Menerusi laporan Berita Harian, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
Perkara itu diumumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar menerusi sebuah hantaran di laman Facebook.
"Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
"Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Sabah 'hilang' seorang pejuang rakyat yang lantang dan tegas dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan negeri
Menerusi laporan Bernama, Allahyarham dikenali sebagai pemimpin berani yang tidak gentar menyuarakan isu rakyat, termasuk keperluan asas seperti pembangunan infrastruktur, jalan raya, bekalan air bersih dan peluang ekonomi luar bandar.
Bung Moktar, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1991, beliau kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan dari 1991 hingga 1992, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Allahyarham turut pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah
Pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini pula, beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Dalam arena politik nasional, Bung Moktar memulakan langkah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999, dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.
Beliau turut pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO, termasuk Ahli Majlis Tertinggi parti dan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan sehingga kini.
Di peringkat Parlimen, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), sekali gus menonjolkan pengaruhnya di peringkat nasional.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 