Bukan Sekadar Juruterbang & Kabin Kru, AED 3.0 Dedah Peluang Luas Kerjaya Aeroangkasa

AED 3.0 turut menonjolkan pelbagai laluan pendidikan yang fleksibel bagi mereka yang berminat.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) baru-baru ini menjadi tumpuan utama pemain industri dan bakal graduan apabila berlangsungnya Aviation Experience Day 3.0 (AED 3.0)

Program berskala besar ini berfungsi sebagai platform strategik yang menghubungkan pelajar, ibu bapa, dan institusi pendidikan dengan realiti sebenar sektor penerbangan negara.

Dianjurkan oleh Aviation Career Malaysia (ACM) dengan kerjasama strategik MEATECH International College dan MEATECH TTC, AED 3.0 bertujuan membina ekosistem bakat yang lebih tersusun bagi memenuhi permintaan pasaran kerja global yang semakin kompetitif.

Menurut penganjur, program ini bukan sekadar acara pendedahan kerjaya biasa, tetapi merupakan inisiatif transformasi yang memberi kefahaman mendalam mengenai struktur operasi industri penerbangan. Peserta didedahkan kepada perkongsian praktikal daripada tokoh-tokoh industri, termasuk pihak pengurusan syarikat penerbangan, jurutera dan pakar operasi teknikal.

SAYS.com
Image via Farhan Haikal/SAYS Seismik

Pelantikan Captain Mushafiz Mustafa Bakri sebagai Penasihat Industri

Kemuncak program tersebut menyaksikan satu langkah strategik diambil oleh ACM-MEATECH menerusi pengumuman pelantikan Captain Mushafiz Mustafa Bakri sebagai Penasihat Industri Penerbangan. Pelantikan tokoh berpengalaman luas ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan antara bakat muda, pusat latihan, dan pemain industri.

Sebagai Penasihat Industri, Captain Mushafiz akan memainkan peranan utama dalam memberikan pandangan strategik berasaskan pengalaman antarabangsa beliau. Kepakaran beliau akan dimanfaatkan dalam pembangunan modul dan silibus pengajian bagi memastikan kandungan latihan sentiasa selari dengan standard industri semasa serta memenuhi jangkaan sebenar majikan.

SAYS.com
Image via Farhan Haikal/SAYS Seismik

Dengan penglibatan langsung tokoh seperti Captain Mushafiz, ACM-MEATECH memperkukuhkan komitmennya untuk melahirkan graduan yang kompetitif. Inisiatif ini dirangka untuk memastikan pelajar bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, malah memahami operasi sebenar dunia aviation agar mereka benar-benar bersedia untuk bekerja (job-ready) sejak hari pertama melangkah ke alam kerjaya.

Langkah ini dilihat sebagai solusi efektif dalam merapatkan jurang antara pendidikan akademik dan keperluan industri, sekaligus mewujudkan sistem pendidikan yang dipandu oleh realiti dunia sebenar (real-world driven training).

Melangkaui kerjaya juruterbang dan kru kabin

Antara intipati utama yang ditekankan sepanjang AED 3.0 adalah kepelbagaian cabang kerjaya dalam dunia penerbangan. Industri ini ditegaskan bukan hanya berpaksikan kepada juruterbang dan kru kabin semata-mata, malah merangkumi bidang kritikal lain seperti kejuruteraan pesawat, penyelenggaraan (MRO), operasi lapangan terbang, pengurusan kargo udara, serta keselamatan penerbangan.

Panel industri turut menarik perhatian mengenai kebolehpasaran graduan yang sangat tinggi. Data semasa menunjukkan sebahagian besar pelajar berjaya memperoleh penempatan kerja seawal tempoh latihan industri. Alumni daripada ekosistem ini kini berkhidmat di syarikat terkemuka seperti Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air, selain menembusi pasaran antarabangsa bersama Emirates, Qatar Airways, dan Singapore Airlines.

SAYS.com
Image via Farhan Haikal/SAYS Seismik

Dari segi pendapatan, industri ini menawarkan struktur gaji yang kompetitif dengan purata gaji permulaan antara RM2,200 hingga RM2,500. Angka ini berpotensi meningkat dengan mendadak berdasarkan pengalaman, kemahiran teknikal, dan lokasi bertugas, terutamanya bagi mereka yang berjaya menembusi pasaran kerja di luar negara.

Walau bagaimanapun, pakar industri mengingatkan bahawa kejayaan dalam bidang ini menuntut disiplin yang tinggi dan kesediaan untuk terus belajar (continuous learning). Industri penerbangan yang sangat sensitif terhadap masa memerlukan tenaga kerja yang pantas dan tepat dalam membuat keputusan.

Fleksibiliti pendidikan dan latihan

AED 3.0 turut menonjolkan pelbagai laluan pendidikan yang fleksibel bagi mereka yang berminat. Selain program diploma konvensional, laluan melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan program micro-credential turut diperkenalkan bagi memberi ruang kepada lebih ramai bakat muda menyertai industri ini tanpa terikat kepada satu corak pendidikan sahaja.

Keberkesanan AED 3.0 jelas terlihat apabila ia berjaya mengubah persepsi awam yang sebelum ini menganggap industri penerbangan sebagai bidang eksklusif. Sebaliknya, ia adalah sebuah ekosistem luas yang memerlukan kepakaran teknikal dan pengurusan yang pelbagai.

Secara keseluruhannya, Aviation Experience Day 3.0 telah berjaya meletakkan asas kukuh dalam melahirkan generasi "pakar masa hadapan" yang bukan sahaja mahir dari segi teori, malah bersedia untuk bersaing di pentas dunia demi memajukan industri penerbangan Malaysia.

SAYS.com
Image via Farhan Haikal/SAYS Seismik

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik