“Bukan Masa Untuk Scroll” – CUEPACS Larang Penjawat Awam Guna Media Sosial Semasa Kerja
Ia bagi menyeru semua penjawat awam agar terus mengekalkan tahap profesionalisme tinggi ketika bekerja.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan bahawa penjawat awam tidak sepatutnya aktif di media sosial seperti TikTok dan Facebook semasa waktu bekerja
Menurut laporan Harian Metro, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat memberitahu penjawat awam perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap tugasan masing-masing ketika bertugas, selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui surat edaran rasmi sejak Jun 2013.
"Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993].
"Oleh itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam agar mematuhi garis panduan ini demi menjaga integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam," katanya.
Larangan bagi mengekalkan tahap profesionalisme ketika bekerja
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada persoalan yang dibangkitkan orang ramai berhubung isu sama ada penjawat awam dibenarkan atau tidak untuk aktif bermain media sosial seperti TikTok dan Facebook ketika waktu bekerja.
Mengulas soal jumlah penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Adnan memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai akses kepada data atau maklumat rasmi berkaitan perkara tersebut.
"Namun, kami difahamkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai rekod serta mekanisme pemantauan terhadap perkara ini.
"Apa yang lebih utama, CUEPACS menggesa semua penjawat awam agar sentiasa mematuhi etika dan tatakelakuan yang digariskan dalam perkhidmatan, termasuk ketika menggunakan media sosial, demi menjaga maruah dan reputasi perkhidmatan awam di mata rakyat," katanya.
Beliau juga berharap agar semua penjawat awam terus mengekalkan tahap profesionalisme tinggi dan menggunakan media sosial sebagai alat positif untuk menyampaikan maklumat yang membina serta bukannya mencemarkan nama baik jabatan atau kerajaan.
"Integriti dan fokus terhadap tugas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam negara," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 