Bukan Kes Dadah, Yassin Dedah Cerita Kena Tahan Di Jeddah – “Bawa Barang Lambang Larangan”
Alhamdulillah, sekarang Yassin dah dibebaskan.
Cover image via Gitu Gitu Studio (YouTube)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelawak Yassin Yahya akhirnya menceritakan kejadian sebenar mengenai penahanannya di Jeddah, Arab Saudi
Difahamkan, ia selepas Yassin ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di sana.
Menerusi perkongsian di podcast istimewa, Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya, bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, Yassin telah membuka mulut dan bercerita apa yang berlaku di sana.
Yassin yang juga anggota kumpulan Senario memberitahu ini adalah kali pertama mahu mengerjakan ibadah umrah, namun kurang ilmu berkaitan perjalanan ke Tanah Arab antara faktor penahanannya.
Kongsi cerita sebenar, penahanan bukan sebab dadah
Menurut Yassin, penahanannya bukanlah disebabkan penyalahgunaan dadah tetapi disebabkan perkara lain.
"Ia bermula dengan satu sidang media menjemput 25 artis veteran. Ada seorang insan dari Pulau Pinang berbesar hati menaja 25 orang artis menunaikan umrah.
"Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Orang taja jadi mengapa tidak saya ambil peluang. Ketika itu, saya ada 'job', tapi saya fikir nak ambil 'job' atau peluang ini.
"Saya berbelah-bahagi dan pening. Saya tanya isteri dan fikir mungkin inilah niat yang sudah lama diimpikan. Saya terus hubungi emak dan beritahu ada orang nak taja menunaikan umrah.
"Emak beritahu, Alhamdulillah, dia baru semalam berdoa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Itulah saya. Jadi, saya buat keputusan mahu pergi umrah, namun agak kelam kabut buat persediaan," katanya.
Malah, tawaran kerja diterimanya terpaksa mencari pengganti, dia juga meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat pergi kursus umrah.
"Saya hanya buat persediaan dengan belajar dalam YouTube dalam masa singkat. Ketika itu, Senario juga baru sahaja memenangi trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Jadi, saya lebih teruja mewakili anggota Senario nak berdoa, sambil belajar," katanya.
Difahamkan, dia bertolak ke Jeddah pada 27 Oktober tahun lalu, tapi tidak disangka gurauan bersama ibunya menjadi kenyataan.
"Sebelum berlepas, saya bergurau dengan emak, 'saya mungkin extend'. Emak terkejut, tapi saya terlepas cakap tanpa sengaja, tapi nampaknya masin mulut," katanya.
Image via Gitu Gitu Studio (YouTube)
Pihak kastam nampak sesuatu 'mencurigakan' dan selongkar beg
Yassin memberitahu dia menaiki penerbangan lapan jam perjalanan ke Jeddah. Namun, sebelum berlepas dia berfikir bagaimana hendak merokok, jadi dia membeli rokok kertas, 'grinder' (pengisar) dan beli sekotak rokok di lapangan terbang tersebut.
"Sampai di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg saya.
"Dia pegang benda agak mengeruni, saya nampak dia pegang 'grinder' yang ada lambang barang terlarang. Mereka terus selongkar beg. Bagi mereka, ini adalah barang mencurigakan," dakwanya.
Yassin kemudian memberitahu dia dibawa ke bilik dan badan serta begnya diselongkar lagi.
"Saya pun tak tahu apa yang mereka buat. Saya tanya apa yang mereka buat, saya jelaskan ini rokok. Jika mencurigakan, boleh buat ujian air kencing.
"Pada masa sama, saya suruh mutawif tinggalkan saya kerana mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah," jelasnya.
Yassin mendakwa dia dibawa ke pejabat polis untuk ambil keterangan, namun tidak dilepaskan.
"Selepas soal siasat, mereka tutup beg yang digeledah dan saya fikir mereka nak hantar saya kembali kepada kumpulan jemaah. Mungkin saya boleh lepas, namun pihak polis suruh ikut ke kenderaan polis (jeep) dan menggari tangan. Saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula.
"Saya tertanya-tanya apa salah saya. Kalau fikir, takkan soal lambang jadi satu kesalahan. Kalau salah, saya sudah kena tahan di Malaysia. Saya memang tak tahu mengenai undang-undang di sana.
"Sampai di balai polis, saya tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, apatah lagi, masalah komunikasi macam 'ayam dan itik'.
"Dalam perjalanan, saya 'contact' Allah sahaja, hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir. Sampai sana, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah," dakwanya.
Malah, sepanjang penahan selama 10 hari di sebuah balai polis di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu, dia mendedahkan pernah tidur berdiri di lokap.
"Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian pada 19 November. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup, tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.
"Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya. Mungkin musibah ini satu kebaikan untuk saya.
"Ini satu pengajaran, saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan. Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu," katanya.
Image via Gitu Gitu Studio (YouTube)
Tonton video penuh podcast itu di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


