Bekas Pengurus Bilik Mayat Jual Organ Penderma, Universiti Harvard Berdepan Saman Ahli Keluarga
Universiti Harvard menerima pendermaan mayat untuk kegunaan penyelidikan di sekolah perubatannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Universiti Harvard berdepan saman oleh keluarga yang mendakwa institusi itu gagal mengurus dengan baik mayat yang didermakan kepada institusi itu, selepas bahagian tubuh mereka dijual di pasaran gelap oleh bekas pengurus bilik mayat
Menerusi laporan Harian Metro, Mahkamah Agung Kehakiman Massachusetts memutuskan bahawa hakim mahkamah perbicaraan tersilap apabila menolak saman menuntut Harvard bertanggungjawab atas "rancangan mengerikan" bekas pengurus bilik mayatnya, Cedric Lodge, yang membedah, mencuri dan menjual bahagian mayat yang digunakan sekolah perubatan untuk penyelidikan.
Hakim Scott Kafker, yang menulis keputusan bagi panel empat anggota sebulat suara berkata plaintif telah menunjukkan dengan cukup bukti bahawa Harvard gagal bertindak dengan niat baik dalam menguruskan mayat yang "diperlakukan secara mengerikan dan tidak bermaruah selama bertahun-tahun."
"Ia mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memastikan layanan dan pelupusan mayat manusia yang didermakan dilakukan dengan bermaruah namun gagal sama sekali dalam hal ini, seperti yang diakui sendiri oleh Harvard," tulis Kafker.
Mahkamah juga menghidupkan semula tuntutan terhadap pengarah pengurusan program pendermaan anatomi Harvard. Pihak Harvard dan peguam plaintif tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.

Cedric Lodge kini menunggu hukuman selepas mengaku bersalah pada Mei lalu atas tuduhan membawa 'barang curi' merentasi sempadan negeri
Menurut pendakwa raya, dia memulakan rancangannya pada 2018 dengan mencuri bahagian mayat termasuk kepala, otak, kulit dan organ kemudian membawanya dari bilik mayat Harvard di Boston ke rumahnya di Goffstown, New Hampshire di mana dia dan isterinya melakukan penjualan.
Dalam 12 saman yang difailkan oleh 47 ahli keluarga, para plaintif menuduh Harvard cuai dan "menutup mata" terhadap salah laku Lodge yang berlarutan selama bertahun-tahun sehingga dia didakwa pada 2023.
Seorang hakim sebelum ini memutuskan bahawa Harvard mempunyai kekebalan luas daripada liabiliti selagi ia berusaha dengan niat baik mematuhi Undang-Undang Hadiah Anatomi Seragam Negeri Massachusetts, yang mengawal pendermaan tubuh manusia bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.
Walau bagaimanapun, Kafker menyatakan saman itu dengan jelas menunjukkan Harvard gagal mematuhi undang-undang tersebut.
Ia termasuk gagal mewujudkan sistem yang dapat menghalang Lodge daripada memotong bahagian tubuh mayat yang didermakan, membawa orang luar masuk ke bilik mayat untuk membeli bahagian tubuh, dan mengeluarkan bahagian mayat dari fasiliti tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 