Bekas Engineer Oil & Gas Tinggalkan Gaji 5 Angka Demi Isteri, Kini Jadi Pengusaha Bengkel Berjaya

Respect!

Enlarge text
Cover ImageCover image via Capture Garage & Luqman Mat
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang suami sanggup meninggalkan kerja sebagai jurutera instrumen di sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) dengan gaji lima angka kerana tidak sanggup berjauhan dengan isteri

Menerusi laporan Harian Metro, Luqman Mat, 40, tekad membuat keputusan tersebut selepas tiga tahun bertugas sebelum nekad kembali bersama isterinya, Umi Norihidayah Zulkifli, 39 serta keluarga.

Memandangkan minatnya adalah dalam bidang automotif, Luqman kemudiannya membuka sebuah bengkel kecil menggunakan wang simpanan, menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Menurut Luqman, perjalanannya bermula baik namun menghadapi ujian selepas empat tahun operasi selepas perniagaannya hampir gulung tikar sebelum dia berjaya bangkit semula dengan pertolongan seorang kenalan lelaki berbangsa Cina yang sudi meminjamkannya wang bagi memulakan semula apa yang diusahakan.

Kini perniagaannya berkembang kepada empat lot bengkel termasuk sebuah lot yang khusus untuk membaik pulih motosikal berkuasa tinggi.

"Sebenarnya, saya hampir berputus asa selepas empat tahun buka bengkel apabila perniagaan tak menjadi… silap saya dulu kerana ikutkan minat hingga tak tawarkan servis kereta tapi lebih kepada khidmat penukaran enjin dan bahagian lain.

"Sehingga satu satu hari, saya berjumpa seorang kawan, namanya Ah Wa dan dia yang ubah pemikiran dengan memberi nasihat supaya saya fokus dengan servis kereta jika nak buat untung. Walaupun kami tak rapat, dia sanggup pinjamkan RM10,000 untuk bantu.

"Katanya, ada duit bayar, jika tiada tak perlu bayar lagi dan ayat itu yang saya ingat sampai sekarang malah sampai sekarang kami berkawan," katanya.

SAYS.com
Image via Luqman Mat

Mampu berbangga apabila perniagaannya kini mempunyai tujuh pekerja terdiri daripada enam mekanik serta seorang kerani

Luqman berkata, dia tetap bersyukur apabila bengkel yang diusahakan masih bertahan walaupun perlu berdepan pelbagai cabaran yang dianggapnya sebagai lumrah dalam perniagaan.

"Persaingan banyak tapi saya percaya dengan rezeki dan kena usaha untuk dapatkan hasil. Kualiti pun kena jaga dan saya pentingkan kebersihan kerana nak ikut piawaian satu syarikat kenderaan model terkenal tempat saya timba pengalaman sebagai 'pomen' sebelum jadi jurutera.

"Waktu itu, nak pegang spanar pun kena lap dulu dan itu yang ingatkan pekerja untuk amalkan di sini. Kualiti minyak pun biarlah berbaloi dengan harga. Syukur, perniagaan saya bertahan malah waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun tak sangkut bayar gaji pekerja dan itu pentingnya sistem pengurusan wang yang mana saya sebagai majikan pun ambil gaji," katanya.

Katanya, dia tidak pernah kesal dengan keputusan berhentinya sebelum ini dan perlu bermula semula daripada bawah. Sebaliknya, dia mengakui berpuas hati kerana dapat memanfaatkan bidang diminatinya sebagai cara menjana pendapatan bagi menyara isteri serta empat anak.

"Kekuatan saya adalah isteri kerana sejak awal lagi, dia yang menjadi tulang belakang dan banyak bagi kata semangat. Jauh lagi perjalanan saya tapi akan usaha dengan lebih kuat untuk terus melangkah ke hadapan bagi memajukan perniagaan.

"Jika ada rezeki dan diizinkan Allah SWT, saya nak buka cawangan lain tapi dalam keadaan ekonomi sekarang, kena tangguhkan dulu hasrat itu kerana bengkel terlalu banyak malah ada antaranya diusahakan oleh warga asing," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik