Bapa 43 Tahun Kongsi Lawan Tibi 2 Kali Sambil Berjaya Tamatkan 3 Cabaran Ironman
Respect!
Cover image via @jerrydoos (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang bapa rakyat Malaysia telah berkongsi di media sosial tentang perjalanan inspirasinya dalam mengatasi Tibi sebanyak dua kali sambil terus mengejar minatnya dalam triatlon
Dalam sebuah hantaran di Instagram pada 22 Februari, Jerry Ong secara terus terang berkongsi kesan emosi dan fizikal yang ditimbulkan oleh penyakit itu terhadapnya sejak tiga tahun lalu.
"Saya telah mengatasi tuberkulosis dua kali. Saya akui, ia bukan mudah. Saya mengalami kemurungan dan benar-benar berfikir bahawa tiada gunanya lagi hidup, sehinggalah saya memikirkan akan keluarga saya," katanya.

Pada tahun 2022, lelaki itu mendedahkan bahawa dia telah menamatkan cabaran Ironman pertamanya tanpa menyedari bahawa Tibi sudah mula menjangkiti dirinya
"Di pertengahan perlumbaan, saya kehilangan semua tenaga dan keupayaan saya. Pada mulanya saya sememangnya pada tahap paling cergas, namun selepas itu semua orang terus memintas saya. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada badan saya. Saya juga terlepas Krismas dan Tahun Baru bersama keluarga saya, berbaring di atas katil," kongsinya.
Bimbang tentang batuk yang berterusan, dia mendapatkan rawatan perubatan dan menjalani imbasan X-ray dada.
"Ahli radiologi memberitahu saya untuk segera berjumpa doktor. Selepas melihat imbasan X-ray, doktor memberitahu keseluruhan paru-paru kiri sudah dijangkiti dan dipenuhi air, menyebabkan sebahagian daripadanya tak dapat berfungsi. Mereka berkata ia mungkin kanser atau Tibi di samping meminta saya untuk berdoa ia adalah Tibi," katanya.
Walaupun keadaannya membimbangkan, Jerry berkata dia tidak mengalami kesukaran bernafas yang teruk walaupun semasa menamatkan Ironman.
"Doktor saya berkata saya telah menamatkan Ironman dengan satu paru-paru," tulisnya.
Ironman merupakan acara triatlon yang meliputi jarak sejumlah 226.3km, terdiri daripada renangan sejauh 3.8km, kayuhan basikal sejauh 180km dan larian maraton sejauh 42.2km.


Dia kemudiannya disahkan menghidap Tibi, diarah laksana penjagaan antibiotik yang ketat selama sembilan bulan
"Peraturannya ialah saya tidak boleh terlepas walau sehari pun. Jika saya terlepas, Tibi boleh menjadi kebal. Saya menetapkan penggera setiap hari selama sembilan bulan untuk mengambil ubat tersebut," katanya.
Rawatan itu datang dengan kesan sampingan, termasuk kelesuan, migrain, cirit-birit dan perubahan warna merah pada air kencing serta najis, satu kesan ubat yang tidak diingini tetapi tidak berbahaya.
Walau bagaimanapun, walaupun semasa menjalani rawatan, Jerry berkata dia meneruskan latihannya, bertanding dalam lebih banyak triatlon dalam tempoh tersebut. Dia menamatkan Half-Ironman pada tahun 2023 dan kembali untuk Full-Ironman pada tahun 2024. Malangnya, pada tahun 2025, selepas pengsan seketika dalam perlumbaan, dia didiagnosis semula menghidap Tibi.
"Bagaimana saya boleh menghidap Tibi lagi selepas selesai rawatan? Saya tidak pernah terlepas walau sehari pun ubat. Doktor berkata ia adalah kambuh semula dan kadangkala ia berlaku begitu sahaja," kongsinya.
Dia menjalani enam bulan lagi penjagaan antibiotik, rawatan dan kesan sampingan yang perlu dihadap sekali lagi.
"Tetapi saya tidak berputus asa. Saya mengurangkan masa latihan saya dan fokus pada pemulihan. Saya menyesuaikan pelan latihan saya agar sesuai dengan keadaan saya. Saya menangis selepas setiap perlumbaan pada tahun itu," katanya.
Apa yang membawa inspirasi adalah selepas menamatkan rawatannya hanya sebulan sebelum Ironman Langkawi 2025, Jerry terus mendaftar untuk perlumbaan itu dan berjaya mencapai rekod peribadi terbaik.


Bercakap kepada SAYS, perkara paling sukar dalam perjalanannya itu adalah kesan terhadap mental
"Saya bimbang jika tersebarkannya kepada keluarga. Terdapat tekanan berterusan tentang terlupa untuk mengambil ubat. Malah, sebagai seorang yang aktif, kehilangan kecergasan dan perlu membinanya semula dari bawah adalah sukar," kongsinya.
Jerry berharap kisahnya akan meningkatkan kesedaran tentang Tibi dan kepentingan mematuhi rawatan dengan ketat.
"Dengan sokongan dan rawatan yang betul, Tibi boleh disembuhkan. Jika anda mengalami batuk berterusan selama tiga minggu atau lebih, sakit dada, batuk darah, demam, berpeluh malam, keletihan, atau penurunan berat badan, dapatkan pemeriksaan awal. Pengesanan awal boleh mencegah kerosakan paru-paru yang serius," ujarnya.
Hantarannya itu telah mendapat lebih 11,000 likes, dengan ramai netizen mendoakan yang terbaik, manakala ada yang menghadapi masalah yang sama berkongsi bahawa kisahnya membantu memberi mereka semangat.
Lihat hantaran penuh di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



