Bank Rakyat Umum Dividen Sebanyak 18%, Nilai Tertinggi Dalam 10 Tahun Yang Pernah Diraih
Yang simpan dalam Bank Rakyat boleh check nanti!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025
Menerusi laporan Berita Harian, pembayaran itu membabitkan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM534.7 juta kepada 783,324 anggota yang layak. Pembayaran dividen kepada penyimpan akan dilakukan bermula 16 April 2026.
Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 4.2 peratus atau RM75.8 juta berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui asas kukuh kumpulan serta tumpuan terhadap aktiviti teras, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik.
Sementara itu, kumpulan tersebut kekal berwaspada dalam menghadapi prospek ekonomi global yang tidak menentu dan persekitaran perbankan yang mencabar.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak memaklumkan prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh pertumbuhan kukuh jumlah aset, meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM131 bilion
Beliau berkata, ia didorong oleh tawaran menarik dalam segmen pembiayaan runcit, penekanan lebih kukuh kepada pendapatan bukan berasaskan dana, pendigitalan yang dipercepat untuk menembusi pasaran golongan berpendapatan sederhana tinggi serta peningkatan kualiti aset secara keseluruhan.
Katanya, pendapatan utama kumpulan juga meningkat sebanyak dua peratus kepada RM6.8 bilion didorong oleh pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri.
"Dengan kejayaan pelaksanaan BR25, kumpulan telah merealisasikan sepenuhnya manfaat daripada kepelbagaian portfolio, khususnya dalam segmen perbankan perniagaan serta segmen pembiayaan bercagar seperti Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i," katanya.

Prestasi baik yang membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan dividen tinggi
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata prestasi kewangan yang memberangsangkan tersebut membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi.
Katanya, ia juga menjadi penghargaan kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka.
"Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM38 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM19 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.
"Jumlah sumbangan bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM57 juta berbanding RM54.7 juta pada tahun sebelumnya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 