Bangunan ‘Hantu’ Tertinggi Di Dunia Terbengkalai Akhirnya Siap Lepas 18 Tahun
Pembinaan bangunan setinggi 128 tingkat itu bermula pada 18 Ogos 2008.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah bangunan pencakar langit, Goldin Finance 117 yang telah tertangguh pembinaannya kini hampir siap sepenuhnya selepas 18 tahun kerja pembinaan bermula
Menerusi laporan Newsweek, menara yang terletak di Tianjin, China itu memegang rekod sebagai bangunan tidak berpenghuni tertinggi di dunia diiktiraf Rekod Dunia Guinness.
Pekerja pembinaan dilaporkan mula memasang struktur mahkota berbentuk berlian seberat 7.6 tan di puncak bangunan itu pada penghujung Mac lalu.
Pemasangan struktur keluli itu dianggap sebagai pencapaian penting sejak projek berkenaan disambung semula pada April 2025.
Urusan pajakan menara utama itu hampir dimuktamadkan dengan penyertaan 17 syarikat termasuk tujuh perusahaan milik kerajaan dan 10 firma swasta.

Juga dikenali sebagai China 117 Tower dan dikategorikan sebagai pencakar langit supertall iaitu bangunan yang melebihi ketinggian 300 meter (984 kaki)
Pembinaan bangunan 128 tingkat itu bermula pada 18 Ogos 2008. Ia direka sebagai karya kejuruteraan luar biasa dengan menggunakan sistem 'kolum mega' dan kekuda kompleks bagi memastikan kestabilan struktur daripada tiupan angin kencang serta aktiviti seismik.
Menara itu mencapai ketinggian 596 meter (1,955 kaki) pada September 2015, sekali gus menjadikannya bangunan kelima tertinggi di dunia pada waktu itu.
Projek berkenaan kemudiannya ditangguhkan pada Disember tahun yang sama selepas pemiliknya, pemaju Goldin Properties yang berpangkalan di Hong Kong berdepan masalah kewangan susulan krisis pasaran saham China pada Jun 2015.
Goldin Finance 117 bukanlah satu-satunya pencakar langit yang mengalami kelewatan luar biasa. Menara Jeddah di Arab Saudi yang dijangka menjadi menjadi bangunan tertinggi di dunia, turut dihentikan pembinaannya pada 2018 sebelum disambung semula pada 2023 dan dijadualkan siap pada Ogos 2028.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 