“Arafah: Puncak Munajat & Harapan” – TV AlHijrah Lancar Rangkaian Kandungan Khas Haji 1447H
TV AlHijrah turut perluas liputan haji 2026 menerusi Facebook & TikTok.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
TV AlHijrah sekali lagi mengukuhkan peranannya sebagai jambatan rohani umat Islam negara dengan melancarkan kempen Haji dan Aidiladha 1447H
Mengangkat tema "Arafah: Puncak Munajat & Harapan", stesen penyiaran Islam utama ini menyusun rangkaian program eksklusif bermula April sehingga penghujung Mei 2026 bagi membawa suasana Tanah Suci terus ke hati penonton.
Kempen tahun ini bukan sekadar laporan berita, malah merangkumi pengisian ilmu, bimbingan praktikal, serta penghayatan emosi yang dirancang rapi untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan detik-detik agung di bumi Mekah dan Madinah.
Tumpuan utama kempen kali ini pastinya terarah kepada siaran langsung Khutbah Arafah 2026 pada 26 Mei 2026 (Selasa). Khutbah tersebut akan disampaikan secara eksklusif oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), khas buat jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
Penonton di tanah air boleh mengikuti detik bersejarah ini bermula jam 7 malam (waktu Malaysia) menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok TV AlHijrah. Sebelum itu, pada jam 5 petang, penonton bakal diajak bermunajat menerusi program Munajat Arafah yang menampilkan alunan ayat suci Al-Quran dan zikir bersama barisan pendakwah terkemuka.

Informasi haji & laporan langsung dari Tanah Suci
Bagi mempersiapkan jiwa dan minda penonton, TV AlHijrah membawakan barisan program mantap:
- Interaktif Haji (Isnin-Jumaat, 9 Malam): Bermula 20 April, menampilkan Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf untuk bimbingan praktikal haji dengan integrasi soalan digital secara langsung.
- Kisah Mutawif (Khamis & Jumaat, 10 Malam): Bermula 30 April, Ustaz Izzhar Nazri menyingkap pengalaman di sebalik tabir pembimbing jemaah di Tanah Suci.
- Diari Labbaikallah (Isnin-Jumaat, 7 Malam): Bermula 11 Mei, kapsul khas ini membawakan laporan semasa dan suasana terkini pergerakan jemaah haji terus dari Mekah.

Kemeriahan sambutan tidak terhenti di Padang Arafah. TV AlHijrah turut menyediakan program Peristiwa Hari Tasyrik pada 28 hingga 30 Mei 2026 jam 9 malam. Program ini bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan memperbanyak zikir dan mensyukuri nikmat pengorbanan di sebalik kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Selain itu, rancangan pagi Assalamualaikum (7 pagi) dan Berita AlHijrah (8 malam) akan terus memberikan perkembangan harian sahih berdasarkan sumber daripada Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa Arab Saudi.
Melalui kempen ini, TV AlHijrah berharap dapat menyatukan ummah menerusi ilmu dan penghayatan rohani, sekali gus memastikan semangat haji dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat walaupun tidak berada di lokasi kejadian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 