Anita Yusof Berjaya Rentas Lebih 113,000KM Secara Solo, Kembara 7 Benua Dengan Motosikal
Respect!
Cover image via @gdranitayusof (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sudah menginjak usia 58 tahun, Anita Yusof berjaya menghabiskan perjalanan solo mengembara ke serata dunia dengan hanya menggunakan motosikal
Dengan hanya menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150i, beliau berjaya merentasi tujuh benua dan 81 buah negara sejak permulaaan pengembaraannya pada 2019.
Secara keseluruhan, Anita merekodkan jarak sejauh 113,284km selama 2,280 hari di jalan raya, menempuh pelbagai selekoh yang salah, arah Peta Google yang tidak menentu, dan saat-saat yang mendebarkan dan mengancam nyawa.
"Akhirnya, aku ketemu juga jalan pulang. Terima kasih Ya Allah atas izin dan perlindungan yang Kau berikan selama aku hidup di jalanan," tulisnya di Instagram selepas akhirnya tiba di Malaysia.
Untuk rekod, ini merupakan ekspedisi global kedua Anita. Beliau sebelum ini telah menyelesaikan 'Global Dream Ride' pertamanya pada tahun 2015, yang menyaksikannya mengembara melalui 40 buah negara.

Pengembaraannya, 'Global Dream Ride 2', tertangguh selama hampir dua tahun disebabkan pandemik COVID-19
Pada masa itu, beliau telah pun menunggang merentasi Afrika, tiba di Cape Town, sebelum terpaksa menghentikan perjalanannya. Pada Januari 2022, beliau kembali ke Ethiopia untuk mendapatkan semula motosikalnya yang telah ditinggalkan.
Motosikalnya kemudian diterbangkan ke Jeddah, membolehkan Anita terus menunggang merentasi Mekah, Madinah dan Riyadh, sebelum menrentasi negara-negara Timur Tengah yang lain seperti Iran dan Balkan.
"Saya bergerak zig-zag ke merata tempat, ke atas, ke bawah, ke kiri, ke kanan, berpatah balik mengikut kemahuan saya," katanya.
Bekas pensyarah dari kampus Institut Pendidikan Guru di Ipoh itu berkata pengembaraan itu sangat bermanfaat, menawarkan pengalaman yang tidak ternilai tentang budaya dan tradisi banyak negara dilaluinya.
Menerusi laporan Bernama, Anita mendedahkan bahawa ekspedisi itu menelan belanja hampir RM400,000, sambil menambah bahawa krisis kehidupan peribadi telah mendorongnya untuk melakukan sesuatu yang "gila" untuk dirinya sendiri.

Anita dalam perjalanan ke Mekah.
Image via @gdranitayusof (Instagram)
Gambar ketika menuju ke Tatev, Armenia.
Image via @gdranitayusof (Instagram)
Ketika di Glasgow, Scotland.
Image via @gdranitayusof (Instagram)Sebelum berkecimpung dalam dunia permotoran, Anita berkongsi beliau merupakan seorang backpacker tegar
Minatnya terhadap aktiviti permotoran tercetus selepas membaca sebuah blog tentang perjalanan seorang penunggang basikal ke kawasan terpencil di Kyrgyzstan. Bertekad untuk mengikuti jejak langkah yang sama, Anita belajar menunggang motosikal pada tahun 2012.
Pada usia 45 tahun, beliau memperoleh lesen motosikal dan mula menunggang motosikal di Malaysia sebelum secara beransur-ansur mengembangkan perjalanannya ke negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Laos.
Selepas setahun memiliki pengalaman menunggang motosikal, beliau meneroka lebih jauh ke Asia Tengah, mengembara melalui Kyrgyzstan, Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan dan Afghanistan.
"Itulah permulaan transformasi saya daripada seorang backpacker kepada seorang pengembara," katanya, sambil menambah bahawa beliau memilih untuk bersara awal untuk terus meneroka dunia tanpa terikat dengan komitmen kerja.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



