Amerika Syarikat Kini Sah Keluar Daripada WHO Susulan Arahan Donald Trump
Pentadbiran Trump mendakwa kepimpinan WHO lebih cenderung menyokong maklum balas China semasa pandemik Covid-19.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Amerika Syarikat (AS) secara rasminya keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas hampir 80 tahun sertai agensi tersebut
Menerusi laporan Harian Metro, perkara itu disahkan selepas pentadbiran presidennya, Donald Trump dilaporkan telah melengkapkan proses penarikan diri daripada WHO pada Khamis.
Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) AS memaklumkan tindakan itu diambil bagi memastikan dasar kesihatan negara tidak lagi terikat dengan pihak asing.
Trump sebelum ini ada mengemukakan notis melalui perintah eksekutif pada hari pertama penggal keduanya pada awal tahun lalu sebagai langkah memastikan AS meninggalkan organisasi berkenaan secara sah.
AS dikehendaki memberi notis setahun dan melunaskan semua yuran tertunggak namun pakar berpendapat negara terbabit tidak akan membayar hutang berkenaan.
HHS turut mengesahkan semua pembiayaan kerajaan AS kepada WHO kini ditamatkan sepenuhnya termasuk penarikan balik semua personel dan kontraktor yang ditugaskan dalam organisasi itu.
AS juga akan berhenti menyertai sebarang jawatankuasa, badan kepimpinan dan kumpulan kerja teknikal yang ditaja WHO.

Disifatkan sebagai langkah tepat disebabkan WHO didakwa bertindak bertentangan dengan AS
Seorang pegawai kanan pentadbiran menyifatkan langkah berkenaan sebagai 'janji yang ditepati' atas dakwaan WHO telah bertindak bertentangan dengan kepentingan rakyat AS.
AS didakwa tidak mendapat pulangan yang setimpal dengan nilai wang dan tenaga pakar yang diberikan kepada WHO selama ini di samping berlaku isu semasa pandemik Covid-19 di mana WHO didakwa lewat mengisytiharkan darurat sehingga meragut banyak nyawa.
Pentadbiran Trump mendakwa kepimpinan WHO lebih cenderung menyokong maklum balas China walaupun terdapat bukti awal mengenai penindasan maklumat jangkitan.
Walau bagaimanapun, pakar undang-undang kesihatan di Universiti Georgetown, Dr Lawrence Gostin menyifatkan tindakan penarikan diri AS sebagai langkah yang sangat membahayakan keselamatan nasional.
Beliau memberi amaran bahawa negara itu kini tidak lagi mempunyai akses pantas kepada data virus dan genetik yang kritikal untuk menghasilkan vaksin pada masa hadapan.
WHO sebelum ini menyifatkan tindakan penarikan diri AS sebagai situasi yang merugikan dijangka memberi kesan negatif kepada sistem kesihatan global.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 