AI Kini Sudah Mula Ambil Alih & Ganti Pekerja Muda Yang Baru Ingin Mulakan Kerjaya
Difahamkan, golongan muda yang terlibat itu dalam kalangan pekerja yang berusia 22 hingga 25 tahun.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kajian baharu mendedahkan kecerdasan buatan (AI) mula menggantikan pekerja baharu di Amerika Syarikat (AS)
Menerusi laporan Harian Metro, berdasarkan kajian itu, pengambilan pekerja yang berusia 22 hingga 25 tahun terlibat dalam sektor terdedah dengan AI merekodkan penurunan 13 peratus sejak lewat 2022.
Kajian yang diterbitkan pada Selasa itu dikendalikan oleh pakar ekonomi Universiti Stanford, Erik Brynjolfsson, Bharat Chandar, dan Ruyu Chen.
Mereka menggunakan data Automatic Data Processing, firma pemprosesan gaji terbesar di AS yang mengesan corak pekerjaan di puluhan ribu syarikat hingga Julai 2025.
Penemuan tersebut memberikan bukti skala besar menunjukkan alat generatif AI seperti ChatGPT telah mengubah pasaran pekerjaan.
"Sejak penggunaan meluas AI generatif, pekerja yang baru memulakan kerjaya dalam pekerjaan paling terdedah AI mengalami penurunan relatif 13 peratus," jelas kajian itu.
Difahamkan, pelarasan pekerjaan berlaku terutamanya melalui pemotongan pekerjaan dan bukannya pengurangan gaji.
Sektor pembangun perisian muda dan wakil khidmat pelanggan paling terkesan dengan perubahan ini
Pekerjaan bagi pembangun perisian bagi mereka yang berumur 22 hingga 25 tahun menjunam hampir 20 peratus dari kemuncaknya pada lewat 2022. Pada masa sama, pekerja lebih tua dalam pekerjaan sama kekal stabil atau mengalami pertumbuhan pekerjaan.
Dalam kajian itu, penyelidik menganalisis rekod gaji bulanan yang merangkumi 3.5 hingga lima juta pekerja. Mereka menghubungkan klasifikasi pekerjaan dengan ukuran pendedahan AI yang dikembangkan oleh kajian akademik terdahulu.
Kajian mendapati, pekerjaan di mana AI terlibat dalam tugas menunjukkan penurunan pekerjaan paling ketara manakala pekerjaan di mana AI menambah keupayaan manusia, mengalami pertumbuhan berterusan.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan kesan AI berbeza mengikut jenis pekerjaan. Pekerjaan seperti pembantu kesihatan, pembantu jururawat dan peranan lain yang kurang terdedah AI menunjukkan pertumbuhan pekerjaan bagi pekerja muda.
Mereka merumuskan bahawa AI mampu menggantikan pengetahuan yang diajar di sekolah tetapi tidak memberi pengetahuan tersirat yang diperoleh dari pengalaman kerja.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 