Ahmad’s Fried Chicken Kini Dibuka Di Kota Warisan, Lancar Menu Edisi Terhad ‘Burger Satay’
Sejak cawangan pertama dibuka pada 2024, Ahmad's berkembang pesat dengan 44 outlet kini beroperasi di seluruh negara.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jenama ayam goreng tempatan paling popular, Ahmad's Fried Chicken, terus melakar kejayaan dengan pelancaran cawangan Ahmad's Fried Chicken ke-44 di Kota Warisan, Sepang baru-baru ini
Pelancaran itu turut dihadiri oleh pengasas Ahmad's Fried Chicken, Taufik Khairuddin bersama isterinya, Lailatul Sarahjana Mohd Ismail, yang juga pengasas bersama syarikat. Turut memeriahkan acara ialah selebriti tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi (Pak Nil), yang menjadi tetamu istimewa majlis tersebut.
Kemuncak acara adalah apabila Pak Nil dengan penuh gaya menyempurnakan gimik perasmian meletupkan belon dan menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan outlet ke-44. Sorakan dan tepukan para tetamu menggema, seakan mengiringi langkah besar Ahmad's untuk terus berdiri sebagai jenama ayam goreng nombor satu Malaysia.

Dalam perkongsiannya, Lailatul Sarahjana mengimbau kembali bagaimana Ahmad's bermula. Menurutnya, segala-galanya lahir daripada permintaan anak mereka yang gemar ayam goreng. Dari situ, pasangan ini memutuskan untuk membuka kedai kecil.
"Pada awalnya, anak kami hanya suka makan ayam goreng. Disebabkan permintaan itu, saya dan suami memutuskan untuk buka kedai kecil. Kami bermula dengan wagon di Senawang, hanya menjual ayam goreng dan chicken tenders. Sambutan pada hari pertama sangat luar biasa. Dari situ, kami tambah menu dan akhirnya lahirlah restoran pertama kami," kongsinya.
Sasar pembukaan Ahmad's sehingga 78 outlet menjelang akhir tahun ini
Selepas kejayaan awal itu, outlet restoran pertama dibuka di Sungai Besar, diikuti Cyberjaya dan seterusnya berkembang ke pelbagai lokasi. Hari ini, Ahmad's berdiri megah dengan 44 outlet beroperasi di seluruh Malaysia, dan dijangka mencecah 78 outlet menjelang hujung 2025, termasuk di Sabah dan Sarawak. Angka ini jauh melepasi sasaran awal syarikat iaitu 60 outlet.
"Kalau tiada sokongan orang ramai, Ahmad's tidak akan sejauh ini. Alhamdulillah, Allah mudahkan usaha kami. Dari hanya target 60 outlet tahun ini, kami sudah hampir cecah 78, walaupun sebahagiannya masih dalam proses renovasi," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa maklum balas pelanggan sentiasa diberi perhatian kerana Ahmad's mahu kekal dekat di hati rakyat Malaysia, bukan sekadar sebuah jenama makanan segera.
Walaupun kini semakin dikenali, Ahmad's masih melalui beberapa proses penting dari segi perniagaan. Antaranya ialah permohonan lesen francais, yang hanya boleh dipohon selepas syarikat beroperasi tiga tahun. Ahmad's sudah bersedia untuk membuka peluang francais pada masa depan dengan kos permulaan sekitar RM990,000 bagi sebuah outlet.
Selain itu, syarikat juga dalam proses mendapatkan persijilan halal. "Proses halal bukan mudah, tetapi kami sedang susun piawaian di central kitchen dan training centre mengikut standard yang ditetapkan. Kami juga berharap mendapat sokongan lebih besar daripada agensi kerajaan agar Ahmad's boleh pergi lebih jauh," jelas Lailatul Sarahjana.
Tawar menu edisi terhad, 'Burger Satay' sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia
Burger Satay menjadi simbol inovasi Ahmad's yang menampilkan patty ayam diperap dengan ramuan sate asli dan aroma serai, disertai kuah kacang pekat.
"Visi kami jelas, iaitu mahu mengangkat makanan tradisi ke dalam format moden yang lebih dekat dengan selera generasi baharu. Alhamdulillah, sehingga kini rakyat Malaysia memberikan sokongan yang amat luar biasa. Sudah tentu cabaran itu tetap ada, namun Allah permudahkan setiap langkah perjalanan ini," katanya.

Dalam pada itu, Pak Nil berkata, beliau teruja dengan kelainan yang dibawa Ahmad's.
"Kuah kacangnya lebih sedap daripada sebahagian sate yang pernah saya cuba. Inovasi ini boleh pergi jauh, malah anak-anak pasti suka kerana tidak perlu lagi lidi sate, semua rasa sudah lengkap dalam satu burger.
"Saya nampak Ahmad's membawa satu konsep makanan rakyat Malaysia yang dipermudahkan. Dengan jenama dan kualiti seperti ini, saya yakin Ahmad's boleh menyaingi jenama antarabangsa. Malah, saya percaya jenama ini boleh menjadi kebanggaan negara," ujarnya.
Selain memperkenalkan 24 menu bercita rasa Malaysia, Ahmad's kini membuka peluang perkongsian perniagaan kepada usahawan yang berminat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh sahaja layari https://ahmads.com.my/!
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



