Aaron-Wooi Yik Rangkul Gelaran Juara Beregu Lelaki Badminton Terbuka Singapura 2025
Ia adalah gelaran ketiga buat beregu negara itu musim ini selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand sebelum ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi membuktikan mereka mampu muncul juara!
Pendekatan jurulatih berpengalaman Herry Iman Pierngadi benar-benar memberi kesan dalam penampilan mereka apabila mereka bangkit mempamerkan taring untuk merangkul gelaran juara Terbuka Singapura 2025 sebentar tadi.
Menurut laporan Harian Metro, ia adalah gelaran ketiga buat beregu negara itu musim ini selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand sebelum ini.
Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, pasangan nombor tiga dunia itu bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menundukkan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan yang mengambil masa 65 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya melunaskan dendam mereka di atas kekalahan kepada Won Ho-Seung Jae pada separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.
Tewas di set pertama, Aaron-Wooi Yik berjaya bangkit mengejar pasangan Korea di set kedua biarpun lawan terlebih dahulu memimpin perlawanan sebelum beregu negara itu berjaya mendahului kedudukan 11-10.
Won Ho-Seung Jae bagaimanapun tidak mengalah apabila terus mengejar mata demi mata dan berjaya mengikat kedudukan 14 sama.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu bagaimanapun berjaya mengekalkan momentum apabila mengesahkan kemenangan di set kedua 21-18 untuk membawa perlawanan ke set penentuan.
Memasuki babak ketiga, aksi kedua-dua beregu tampak seimbang namun aksi menyerang yang dipamerkan Aaron-Wooi nyata memberi kelebihan buat mereka apabila mendahului 16-12 sebelum menoktahkan perlawanan dengan kemenangan 21-19.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah kemenangan bernilai AS$74,000 (kira-kira RM315,000), manakala naib juara akan menerima AS$35,000 (RM149,000)
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara menjuarai Terbuka Singapura adalah pada edisi tahun 2008 menerusi gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik


Cover image via 