9 Lelaki Termasuk Remaja 13 Tahun Ditahan Dalam Kes Serang Pemandu Myvi
Difahamkan 9 lelaki termasuk remaja bawah umur direman selama empat hari.
Cover image via SAYSFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis menahan sembilan individu termasuk seorang remaja berusia 13 tahun, berhubung insiden tular sekumpulan penunggang motosikal dilihat menyerang sebuah Perodua Myvi di lebuh raya di Puchong, Selangor
Menerusi laporan Berita Harian, sembilan individu yang ditahan dalam kejadian yang berlaku berhampiran Plaza Tol Puchong Batu 13, Puchong, Selangor, kelmarin, direman empat hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata semua suspek ditahan dalam serbuan di sekitar kawasan Puchong dan Shah Alam, awal pagi tadi.
Difahamkan, terdapat sembilan suspek lelaki tempatan berusia antara 13 hingga 21 tahun, dengan enam daripada mereka berstatus bawah umur.
"Permohonan reman terhadap semua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini dan mahkamah membenarkan mereka direman empat hari hingga Jumaat ini.
"Seorang daripada suspek yang ditahan adalah individu yang dirakam dalam video yang tular melakukan provokasi termasuk merosakkan cermin sisi dan menendang Perodua Myvi terbabit," katanya.

Rampasan motosikal turut dilakukan
Tambah Muhamad Farid, polis turut merampas tiga motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi pada 28 September lalu apabila pemandu kereta berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berhenti di bahu jalan untuk membuat panggilan telefon.
"Ketika itu, sekumpulan lelaki menaiki motosikal menghampiri kenderaan mangsa dan menyoal pengadu serta rakannya sebelum mereka beredar.
"Mangsa kemudian diekori kumpulan berkenaan yang bertindak menendang keretanya beberapa kali sehingga menyebabkan kerosakan," katanya.
Pemandu terbabit telah membuat laporan polis pada hari sama kira-kira jam 10.04 malam selepas kejadian itu tular di Facebook melalui sebuah rakaman video.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam, serta Seksyen 427 kanun sama iaitu melakukan khianat.
Lihat video tersebut di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



