850 Pelajar Perubatan Malaysia Kini Terjejas Akibat Dasar Baharu Di United Kingdom
Mereka kini tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Cover image via Jakub Porzycki/NurPhoto/AFPFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Akta baharu melibatkan latihan perubatan di United Kingdom (UK) telah menyebabkan sekitar 850 pelajar perubatan Malaysia di Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) terkesan
Menerusi laporan Harian Metro, pelajar yang terlibat berdepan ketidakpastian tentang latihan perubatan yang perlu diambil susulan pelaksanaan Akta Latihan Perubatan (Keutamaan) 2026 oleh UK yang mengubah syarat kemasukan ke Program Foundation (FY1/FY2).
Presiden Parti Progresif Rakyat (myPPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata perubahan dasar itu memberi kesan apabila pelajar NUMed kini tidak lagi menikmati keutamaan untuk menyertai latihan perubatan di bawah sistem Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Menurutnya, di bawah peraturan baharu tersebut, keutamaan hanya diberikan kepada graduan yang mengikuti pengajian dan latihan secara fizikal di UK, sekali gus meletakkan pelajar NUMed yang menamatkan pengajian di Malaysia dalam kategori graduan perubatan antarabangsa (IMGs).
"Kerajaan Malaysia mesti secara rasmi berunding dengan kerajaan UK serta pihak berkuasa NHS bagi mendapatkan pengaturan peralihan atau pengecualian khas untuk pelajar yang sudah mendaftar di NUMed sebelum perubahan dasar ini diperkenalkan.
"Sekiranya perkara ini gagal dicapai, pihak berkuasa perubatan Malaysia perlu mempermudahkan dan mempercepatkan laluan pendaftaran bagi graduan yang terkesan supaya mereka dapat meneruskan latihan dan amalan perubatan di Malaysia tanpa kelewatan atau halangan yang tidak perlu.
"Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu meneliti semula syarat dan terma semua program universiti perubatan berkaitan luar negara bagi memastikan ketelusan yang lebih jelas kepada pelajar pada masa hadapan.
"Ini termasuk menyatakan dengan jelas bahawa penempatan latihan NHS tidak dijamin, dasar imigresen dan latihan perubatan boleh berubah, serta pelajar kampus cawangan luar negara mungkin akan dilayan berbeza berbanding pelajar yang mengikuti pengajian secara fizikal di UK," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via NUMed MalaysiaUndang-undang yang berfungsi beri keutamaan kepada dua laluan kemasukan kritikal di UK
Terdahulu, Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting, ketika membentangkan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat pada Januari, menyifatkan NHS tidak seharusnya 'merebut' tenaga kerja dari negara yang kekurangan doktor, sambil membiarkan kumpulan graduan tempatan yang bersedia berkhidmat tidak mendapat pekerjaan.
Undang-undang berkenaan berfungsi beri keutamaan bagi dua laluan kemasukan kritikal ke dalam amalan perubatan di UK: Program Asasi UK (UK Foundation Programme, UKFP) dan latihan kepakaran.
UKFP merupakan program latihan wajib selama dua tahun yang menjadi penghubung antara pengajian perubatan dan pendaftaran penuh dengan GMC, yang jika pelatih tidak memilikinya, dia tidak boleh berkhidmat sebagai doktor bertauliah sepenuhnya di UK.
Menurut kesatuan sekerja dan badan profesional bagi doktor di UK, British Medical Association (BMA), di bawah Akta terbabit, tempat dalam UKFP perlu terlebih dahulu ditawarkan kepada graduan perubatan UK serta kumpulan keutamaan yang ditetapkan sebelum mana-mana pemohon lain yang layak. Kumpulan keutamaan berkenaan turut termasuk graduan dari Ireland, Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.
Loga berkata, ianya sesuatu yang menyedihkan apabila melihat pelajar dan keluarga mereka kini berada dalam ketidakpastian selepas ada yang melaburkan antara RM500,000 hingga RM700,000 dengan harapan dapat menyambung kerjaya dalam bidang perubatan di UK.
"Undang-undang baharu ini secara efektif mengubah nilai dan jangkaan laluan berkenaan selepas ramai pelajar pun sudah mendaftar.
"Kementerian Pendidikan Tinggi perlu segera memulakan rundingan rasmi dengan kerajaan UK dan pihak NHS bagi mendapatkan pengaturan peralihan atau pengecualian khas untuk pelajar yang telah mendaftar sebelum perubahan dasar diperkenalkan.
"Langkah ini penting bagi memastikan pelajar sedia ada tidak terkesan secara mendadak akibat perubahan polisi yang berlaku di luar jangkaan mereka," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



