53 Remaja Bawah Umur Kena Cekup Dalam Operasi JPJ Banteras Lumba Haram Motosikal Di KL
Kesemua yang ditangkap adalah di bawah umur sah peroleh lesen motosikal iaitu 16 tahun.
Cover image via Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala LumpurFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak berkuasa merampas sejumlah 65 motosikal malam tadi di Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan 2 semasa Operasi Satria Jalanan bagi membanteras aktiviti lumba haram
Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) yang dijalankan antara 5.30 petang hingga 7.30 malam itu dilaksanakan susulan peningkatan aduan daripada penduduk tentang penunggang motosikal bawah umur semuda 13 tahun, melakukan aksi lagak ngeri seperti "superman", "wheelie" dan "zig-zag".
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata seramai 23 anggota JPJ, termasuk Unit Falcon, dibantu oleh 16 pegawai dari Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) dan Skuad 42, telah dikerahkan untuk operasi ini.
Skuad 42 merupakan unit khusus JSPT Kuala Lumpur yang ditugaskan untuk membanteras lumba haram dan kesalahan trafik yang berkaitan manakala Unit Falcon pula merupakan unit penguatkuasaan motosikal dalam JPJ.
Dalam operasi tersebut, sebanyak 277 kenderaan telah diperiksa, membawa keputusan 546 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam.
Image via FacebookHamidi mengesahkan bahawa 53 penunggang motosikal didapati individu di bawah umur minimum yang dibenarkan iaitu 16 tahun
Kesalahan utama lain adalah 122 notis diberikan atas kesalahan menunggang tanpa lesen memandu, 90 untuk cukai jalan (LKM) yang tamat tempoh atau hilang, 85 untuk menunggang tanpa insurans dan 42 untuk pengubahsuaian kenderaan secara haram.
"Apabila kami tiba, ramai daripada mereka menunggang secara berbahaya. Perbuatan ini jelas membahayakan pengguna jalan raya lain," kata Hamidi, sambil menambah bahawa kebanyakan pesalah tidak memakai topi keledar.
Beliau mengingatkan ibu bapa bahawa membenarkan individu tanpa lesen untuk menunggang motosikal adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, yang membawa denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan.
Menurut Hamidi, operasi yang disasarkan akan diteruskan dan menggesa orang ramai untuk melaporkan kesalahan lalu lintas melalui MyJPJ e-Aduan atau melalui e-mel [email protected].

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



